P. Ramasamy.-

KUALA LUMPUR – Pertikaian mengenai sekolah vernakular di antara bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy dengan Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh semakin hangat apabila kedua-duanya saling bidas membidas antara satu sama lain.

Ramasamy menyifatkan Akmal mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman apabila mengatakannya mungkin mabuk.

“Saya jangkakan sebagai Ketua Pemuda UMNO, Akmal akan respons secara rasional dan matang terhadap kenyataan saya pertahankan tentang sekolah vernakular dalam negara ini. Tidak mengejutkan apabila dia respons kenyataan saya dengan berkata saya mungkin mabuk atau keliru tentang pembelaan saya terhadap sekolah vernakular.

“Dia cuba menjaja stereotaip dan klise perkauman yang biasa bahawa sebagai seorang berketurunan India, saya mungkin cenderung terhadap arak,” katanya menerusi Facebook.

Tambah beliau, sebagai Ketua Pemuda UMNO, Akmal tidak mampu memberi kenyataan rasional sebaliknya bersifat dangkal dan perkauman mengenai sekolah vernakular.

“Akmal menggelarkan dirinya Ketua Pemuda UMNO, malangnya untuk ahli-ahli Pemuda UMNO apabila mempunyai pemimpin yang cuba mengelirukan mereka dalam satu subjek penting seperti kewujudan sekolah vernakular di negara ini,” katanya lagi.

Mempertahankan pendiriannya, bekas ahli DAP itu berkata, sekolah vernakular didorong diskriminasi terhadap bukan Melayu.

“Pemimpin UMNO yang keliru dan salah maklumat seperti Akmal tidak memahami sejarah, mungkin versi hegemoni sejarah Melayu yang terpesong.

“Sekadar untuk menyatakan, parti berdaftar, United for the Rights of Malaysian Party (Urimai) tidak ditakrifkan mengikut perkauman atau etnik yang berbeza dengan UMNO. Keahlian (Urimai) terbuka kepada semua kaum, khususnya yang kurang bernasib baik dan terpinggir,” tambahnya.

Beliau dalam masa yang sama mencabar Akmal untuk menggesa supaya kerajaan menutup sekolah vernakular.

Selain itu beliau juga ingin mengetahui pendirian DAP dalam isu tersebut.

“Saya cabar dia untuk menggesa supaya sekolah vernakular ditutup. Saya ingin tahu bagaimana rakan-rakannya dari DAP akan menyahut cabaran ini,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast