KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menjadikan Maktab Polis Kuala Lumpur sebagai hab penyelidikan dan siasatan untuk jenayah siber dan narkotik di negara ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia membolehkan segala langkah holistik diambil bagi memerangi dua jenayah yang memberi cabaran besar dalam negara.
“Dalam usaha menjalinkan kerjasama strategik untuk menangani cabaran ini, saya ingin mengumumkan bahawa PDRM bersedia untuk berfungsi sebagai hab penyelidikan dan latihan pembelajaran pencegahan ancaman Keselamatan Siber dan penyalahgunaan bahan (Substance abuse).
“Inisiatif ini akan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam memerangi ancaman keselamatan siber dan ‘substance use’ di rantau ini.
“Sebenarnya, di pihak kami (PDRM) ada berbincang dengan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) untuk meletakkan maktab sebagai hab pembelajaran dan penyelidikan jenayah siber termasuk ‘dark web’ (laman gelap) selain narkotik.
“Apa yang kita mahu adalah menghasilkan pakar analisis yang dihantar ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang boleh mengkaji bahan (dadah) dan dengan itu kita mahu mereka berada di tahap berkepakaran mampu kenal pasti lokasi asal (bahan dadah) sama ada dari Laos, Guatemala atau Mexico berdasarkan bahan berbeza yang digunakan di makmal,” katanya ketika berucap dalam Majlis PDRM Special Dialog 2024 di Maktab Polis Kuala Lumpur pagi tadi.
Majlis itu dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mengulas lanjut perkembangan itu, Razarudin menegaskan, sebagai agensi penguat kuasa undang-undang, PDRM memikul tanggungjawab signifikan dalam melindingi awam daripada pelbagai aktiviti jenayah khususnya jenayah siberdan penyalahgunaan bahan.
“Kami komited dalam mempertingkatkan kapasiti penyiasatan, pencegahan dan mengenalpasti jenayah siber dan pada masa sama mencetuskan kesedaran awam mengenai bahaya kedua-dua jenayah khusus itu.
“PDRM akan terus memainkan peranan signifikan untuk keselamatan serantau terpelihara dengan memperkukuhkan kerjasama dalam mencegah jenayah.
“Malah saya juga percaya kerjasama jitu sesama PDRM, entiti kerajaan, swasta penting dalam memerangi jenayah siber dan penyalahgunaan bahan,” ujarnya lagi.
Tegas Razarudin, dunia kini beralih laju ke arah era digital sekali gus memberikan cabarang kepada keselamatan awam dan kesihatan.
Menurutnya, anjakan paradigma itu juga menyebabkan transformasi dalam keadah aktiviti jenayah sekaligus menarik perhatian kita untuk mengambil langkah penyelesaian segera khususnya membabitkan peningkatan kes jenayah siber, serangan siber dan penipuan dalam talian.
“Justeru, para peserta dari lebih 45 negara yang berhimpun di sini untuk mencambah ide dan berkongsi kepakaran, keupayaan dan pengalaman masing-masing dapat tampil dengan penyelesaian yang efisien ke arah menangani cabaran jenayah siber dan penyalahgunaan bahan,” katanya.- MalaysiaGazette