SHAH ALAM – Tindakan seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menyifatkan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) Selangor Datuk Abdul Rashid Asari sebagai bodoh sebenarnya menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Beliau berkata, pemimpin Bersatu itu sepatutnya menghormati keputusannya menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kerana pentadbirannya dipuji Sultan Selangor.
“Saya mengambil keputusan setelah meneliti titah Sultan Selangor yang memuji pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang berada di landasan yang tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Adakah tindakan saya mengangkat titah Sultan Selangor sebagai alasan untuk menyokong menteri besar satu perkara yang bodoh?
“Secara tak langsung Ahli Majlis Tertinggi tersebut telah menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana membuat titah ucapan yang beliau anggap bodoh,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya, di Plaza Masalam, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Abdul Rashid berkata, keputusan tersebut dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan pada 6 Mac lalu.
Menurut Abdul Rashid, tindakan itu didorong setelah meneliti titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri berada di landasan tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Selain titah Sultan Selangor, Abdul Rashid mengambil keputusan itu kerana beberapa faktor lain termasuk dipecat daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) Bersatu Selangor dan pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Sejak akhir-akhir ini, saya tidak lagi dipeduli dan dipinggirkan daripada Bersatu. Saya tidak lagi relevan kepada Bersatu.
“Semasa PRU15, satu perjanjian telah dibuat antara Bersatu, Pas dan Gerakan. Pihak-pihak telah bersetuju untuk agihan kerusi-kerusi Parlimen Selangor.
“Kerusi Parlimen Kapar telah dipersetujui untuk diagihkan kepada Bersatu,” katanya.
Abdul Rashid mendakwa, semasa mesyuarat akhir penentuan pengagihan kerusi-kerusi di Selangor, kerusi Parlimen Kapar telah diambil Pas tanpa mengendahkan perjanjian yang telah dibuat sebelum ini.
“Ini disebabkan adanya percaturan politik yang tidak sepatutnya diperlakukan.
“Dalam mesyuarat tersebut, tiada siapa pun yang pedulikan hujah-hujah saya dan mereka mengambil keputusan drastik,” katanya.
Menurut beliau, Bersatu akan kehilangan kerusi Parlimen Kapar dalam pilihan raya akan datang sekiranya tindakan Pas merampas kerusi itu tidak dihalang.
“Sampai bila-bila Pas akan menuntut kerusi Parlimen Kapar ini dan akhirnya Bersatu akan kehilangan kerusi Parlimen yang berharga dan selamat.
“Sekali lagi percaturan-percaturan dilakukan oleh pihak kepimpinan tertinggi Bersatu semasa PRN15,” katanya lagi. – MalaysiaGazette