Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing (kiri) menyampaikan replika cek kepada Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan

KUALA LUMPUR – Seramai 65 orang pelajar Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima biasiswa sebanyak RM65,000 daripada Duta Besar Cina, Ouyang Yujing.

Sumbangan itu diserahkan kepada Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan di balai tamu universiti itu, semalam.

Biasiswa tersebut adalah hasil usaha pihak pengurusan SoIS memulakan hubungan dengan Kedutaan China di Malaysia sejak tahun 2022.

Pada masa ini, seramai 744 pelajar dari China melanjutkan pelajaran di UUM yang terdiri daripada 679 pelajar pascasiswazah dan 65 pelajar sarjana muda.

Prof. Dr. Mohd Foad berkata, UUM amat berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar China ke Malaysia bersama delegasi.

“Bagi pihak UUM, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia atas kebaikan dan kemurahan hati mereka dalam menyumbang Biasiswa Duta Besar China,” ujarnya. 

UUM berhasrat untuk mengekalkan dan mengukuhkan kerjasama dengan Kedutaan China di Malaysia yang memberi impak positif serta memupuk manfaat bersama.- MalaysiaGazette