Penduduk Palestin mengerjakan solat terawih pada bulan Ramadan tahun 2023. Foto DEPARTMENT OF ISLAMIC AWQAF

BAITULMAQDIS – Suasana suram menyelubungi rakyat Palestin yang bersiap sedia untuk menyambut Ramadan tahun ini susulan perang yang berterusan selama enam bulan dan langkah-langkah keselamatan yang dipertingkatkan oleh polis Israel.

Peperangan itu memberi kelebihan kepada polis Israel untuk mengawal kedatangan jemaah di masjid tersebut.

Beribu-ribu polis Israel telah dikerahkan di sekitar jalan-jalan sempit Kota Lama di Baitulmaqdis, yang mana puluhan ribu jemaah Islam dijangka berulang-alik setiap hari di perkarangan masjid Al-Aqsa.

Masjid Al Aqsa adalah salah satu tapak paling suci dalam Islam.

Serangan tanpa henti oleh rejim zionis di Gaza telah mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia kerana risiko kebuluran yang semakin meningkat dibimbangi akan meningkatkan jumlah kematian yang kini sudah melepasi 31,000 orang.

Bulan lalu, Menteri Keselamatan Itamar Ben Gvir mahu sekatan dilakukan ke atas jemaah di Al-Aqsa tetapi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata jumlah yang diterima akan sama seperti tahun lepas.

“Ini adalah masjid kami dan kami mesti menjaganya. Kita mesti melindungi kehadiran umat Islam di masjid ini, yang sepatutnya boleh masuk beramai-ramai dengan aman dan selamat,” tegas Azzam Al-Khatib, Ketua Pengarah Wakaf Baitulmaqdis – yayasan agama yang menyelia Al-Aqsa mengulas kenyataan pemimpin-pemimpin Israel.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, hiasan di sekitar Kota Lama tidak dipasang dengan hiasan bagi menyambut Ramadan.

Suasana di sini suram, serupa di bandar-bandar di seluruh Tebing Barat yang diduduki, di mana kira-kira 400 rakyat Palestin telah terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan atau peneroka Yahudi sejak permulaan perang Gaza.

“Kami memutuskan Kota Lama Baitulmaqdis tidak akan dihias kerana menghormati darah para syuhada yang terdiri daripada anak-anak, orang-orang tua,” kata Ammar Sider, seorang ketua masyarakat di Kota Lama.

Polis berkata, mereka sedang berusaha untuk memastikan Ramadan disambut dengan aman dan telah mengambil langkah tambahan untuk membanteras apa yang mereka sifatkan sebagai maklumat provokatif yang diputarbelit di rangkaian media sosial dan telah menahan 20 orang yang disyaki menghasut keganasan.

“Polis Israel akan terus bertindak dan membenarkan menunaikan solat Ramadan dengan selamat di Bukit Kuil, sambil menjaga keselamatan dan keselamatan di kawasan itu,” kata polis zionis itu dalam satu kenyataan.

Bagi seluruh dunia Islam, kepolisan Israel terhadap Al-Aqsa telah lama menjadi antara isu yang paling dibenci dan bulan lalu, pemimpin Hamas Ismail Haniyeh menyeru rakyat Palestin untuk berarak ke masjid pada awal Ramadan.

Tahun lalu, pertempuran yang tercetus apabila polis rejim zionis memasuki perkarangan masjid itu dan tindakan mereka mendapat kecaman daripada Liga Arab serta Arab Saudi, yang mana Israel telah berusaha untuk menormalkan hubungan diplomatik, melanjutkan usahanya untuk membina hubungan dengan kuasa serantau termasuk Emiriah Arab Bersatu. – Agensi