Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu Kod Etika Wartawan Malaysia yang diluncurkan pada 20 Februari lalu tidak akan mengekang atau menghalang mana-mana wartawan untuk melaporkan sebarang berita.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil menegaskan, kod etika itu sebenarnya wujud sejak 1989 dan dilancarkan semula selepas pihaknya membuat penambahbaikan tertentu.

“Sebagai seorang demokrat, sebagai seorang yang berpegang kepada prinsip reformasi, saya dan pentadbiran ini tidak berhasrat mengekang hak bersuara khususnya hak para wartawan membuat pelaporan.

“Kebebasan media itu menjadi salah satu teras utama yang bukan hanya perlu kita sokong, tetapi kita juga perlu makmurkan lagi,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu jaminan kerajaan dalam memastikan Kod Etika Wartawan Malaysia yang telah dikemas kini dan ditambah baik tidak akan mengekang mana-mana pengamal media untuk melaporkan atau membongkar sesuatu skandal dan sebagainya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, kad perakuan media yang diberikan kepada para pengamal media hanyalah kad pemudah cara bagi golongan itu menjalankan tugas masing-masing.

Memberikan contoh, editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown tidak mempunyai kad perakuan media namun masih boleh melaporkan berita-berita mengenai skandal di negara ini.

“Sekali lagi kad perakuan media tidak halang seseorang membuat pelaporan menulis berita.

“Claire (Rewcastle-Brown) tiada kad perakuan media tapi beliau boleh menulis sesiapa sahaja di luar sana sahaja boleh menulis,” jawab Fahmi lagi.

Kod Etika Wartawan Malaysia mengandungi lapan etika utama iaitu wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, hendaklah telus dan berintegriti serta berlaku adil dalam menyampaikan informasi.

Etika lain adalah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi, kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.

Selain itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast