BALAKONG – Seorang pelajar universiti swasta warga China menjadi mangsa buli siber oleh rakan-rakannya sendiri hingga ada yang membuat ugutan mahu mengancam keselamatan dirinya.
Zhang Yixuan, 24, berdepan situasi itu selepas dia bertanya soalan di dalam sebuah aplikasi WeeChat yang mengandungi kira-kira 500 orang dan turut disertai pensyarah dan juga rakan-rakan kelas pengajiannya.
Pelajar tahun akhir jurusan Sains Komputer itu pada mulanya mendapat ejekan daripada beberapa rakannya ekoran soalan yang diajukan kepada pensyarahnya di dalam grup aplikasi tersebut.
Bagaimanapun, dia tidak menyangka beberapa orang rakannya itu bertukar sikap hingga ada yang cuba mengancam untuk membunuhnya.
“Saya hanya bertanyakan soalan berkaitan kehadiran sama ada perlu untuk melakukan kod QR kursus akhir yang sedang saya jalani ketika ini.
“Saya bertanyakan soalan itu sebab pensyarah bagi subjek tersebut memberitahu, tidak perlu hadir secara fizikal ke dalam kelasnya.
“Disebabkan pertanyaan itu saya telah menerima kata-kata kesat daripada beberapa rakan di dalam grup WeeChat berkenaan dan ada yang mengatakan saya bertanyakan soalan bodoh.
“Lebih teruk lagi bila ada yang kata kepada mereka nak bunuh saya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dia menambah, situasi ejek mengejek dan cemuhan di dalam aplikasi tersebut berlarutan sehingga sejam.
Menceritakan lanjut, Yixuan berkata, ini bukanlah kali pertama dia menerima ugutan seperti itu dari rakan-rakannya di universiti tersebut di sebaliknya pernah mengalami situasi sama pada semester lepas.
Namun dia berkata, ugutan itu diterima daripada orang lain dan bukan individu sama seperti yang berlaku minggu lepas.
Katanya, dia telah membuat laporan di Balai Polis Cheras berhubung perkara tersebut dan pihak berkuasa telah menyerahkan perkara itu kepada pihak universiti untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun dia mendakwa, seminggu selepas kejadian, tiada sebarang tindakan diambil daripada pihak berkenaan hingga menyebabkan dia kini berada dalam keadaan bimbang dan ketakutan.
Ditanya sama ada, keluarganya di China mengetahui tentang situsi yang dihadapinya ketika ini, Yixuan tidak memaklumkannya kerana bimbang kedua ibu bapanya akan berasa khuatir.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Balakong, Wayne Ong Chun Wei berkata, kejadian buli siber ini harus dipandang serius oleh pihak-pihak yang berkenaan kerana ia boleh boleh menjejaskan keyakinan diri pelajar terbabit.
Katanya, ia boleh menyebabkan seseorang itu bertindak membunuh diri jika dia terlalu emosi dengan tekanan yang dihadapi.
“Mangsa ini telah diserang dengan ugutan daripada lapan orang yang berlainan…pihak kampus khususnya bahagian hal ehwal pelajar perlu memberikan kaunseling.
“Saya harap jika ada lagi pihak yang menerima nasib seperti Yixuan agar tidak menyembunyikan situasi yang mereka hadapi sebaliknya perlu dikongsikan bersama supaya tindakan dapat diambil untuk menyelesaikannya,” ujarnya. – MalaysiaGazette