Dua pedang samurai yang dirampas pihak polis dalam penangkapan 10 Mac yang lepas.

SUBANG JAYA – Polis telah merampas dua bilah pedang samurai yang disimpan di bahagian tempat duduk belakang dan bonet kereta seorang lelaki pada 10 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan telah dibuat pengadu apabila menyedari sebuah motokar jenis Honda Accord berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan Puchong Jaya.

“Soal siasat mendapati suspek telah mengutip kedua-dua bilah pedang samurai tersebut di kawasan pembuangan sampah lalu simpan di dalam keretanya,” kata Azlan.

Sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bukit Puchong telah menahan suspek sekitar jam 3.00 pagi di kawasan Puchong Jaya.

Semakan lanjutan yang dilakukan juga telah mendapati suspek yang berumur dalam lingkungan 30-an itu juga mempunyai dua rekod jenayah dan tidak dikehendaki polis.

Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah pada 12 Mac, hari ini dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 7(1)(A) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berjadual 1958 (Akta 357).

Sehubungan itu polis menasihati orang ramai supaya tidak membawa sebarang senjata berjadual di tempat awam dan meminta mereka yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah tampil memberikan kerjasama. – MalaysiaGazette