Gambar fail BUkit Aman. foto FAREEZ FADZIL, 13 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman hari ini mengumumkan pertukaran membabitkan empat pegawai kanannya di seluruh negara berkuat kuasa 15 April ini.

Setiausaha PDRM, Alzafny Ahmad dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Ketua Urusetia Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Asisten Komisioner Azman Shari’at dilantik sebagai Ketua Polis Daerah KLIA.

Manakala Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin bakal mengisi jawatan yang dikosongkan Azman.

Turut bertukar Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor yang dilantik sebagai Penolong Pengarah Siasatan dan Pemantauan, Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan di Putrajaya.

Tambahnya, pertukaran juga melibatkan Penolong Pengarah Perkhidmatan (Rekod Personel) Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman ACP Mohamad Lazim Ismail yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju. – MalaysiaGazette