Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang warga Pakistan yang dipercayai melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah kedai di Kampung Pandan semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa berada di ruangan pejabat sebuah kedai elektrik dan sedang menunggu pekerja kedai membaiki kipas.

“Suspek yang juga merupakan pembantu kedai itu telah datang meminta nombor telefon bimbit mangsa. Semasa remaja berkenaan sedang menulis, suspek telah bertindak memegang bahu mangsa dan menggeselkan kemaluannya pada bahagian belakang badan kiri pengadu sebanyak dua kali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selepas kejadian itu, mangsa terus berlari keluar dari kedai untuk ke rumah dan kini berada di dalam keadaan trauma.

Mohd Azam berkata, suspek yang berumur 48 tahun itu akan direman selama tujuh hari bermula 12 Mac dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Kanak- Kanak 2017 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette