KUALA LUMPUR – Arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tidak menggunakan dawai kokot dalam pengendalian makanan telah dipatuhi rata-rata peniaga makanan.
Kebanyakan mereka kini mengunakan alternatif lebih selamat seperti getah tempe, getah dan selotep untuk membungkus bekas makanan.
Berdasarkan tinjauan MalaysiaGazette di bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri, dekat Stadium Kuala Lumpur semalam mendapati rata-rata peniaga kini cakna dengan peraturan yang dikeluarkan oleh KKM itu.
Menurut Alisya Nur Mohd Noor, 31, beliau tidak lagi melihat penggunaan dawai kokot dalam pembungkusan sebaliknya peniaga banyak menggunakan kotak untuk pengendalian makanan.
“Tetapi, dari segi pengguna, kami tidak kisah jika menggunakan kotak atau dibungkus menggunakan stapler.
“Ini merupakan satu langkah yang bagus untuk kerajaan bagi mengelakkan sebarang kemalangan,” katanya.
Seorang lagi pengunjung di bazar itu, Nur Ain Farhana Abdul Latif, 31, menyambut baik penggunaan bekas dalam pembungkusan tepung pelita kerana dapat menjaga keselamatan anak-anak kecil yang memakan juadah itu.
“Dari aspek peniaga, mereka seharusnya megikut saranan kerajaan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan pengguna,” katanya.
Apabila ditanya mengenai hal ini, Agen Tepung Pelita Paya Jaras, Mohd Syafiq Mohd Yusof, 37, menyatakan mereka telah memperbaharui pembungkusan tepung pelita pada tahun ini dengan menggunakan bekas yang lebih moden dan selamat.
“Pembaharuan ini juga bermakna, ada kenaikan dari segi kos kerana kami perlu membeli bekas dan harga barang mentah juga semakin meningkat.
“Walau bagaimanapun, kami telah membuat keputusan untuk mengekalkan harga yang sama iaitu RM5 kerana kami hanya berniaga setahun sekali sahaja di bazar ramadan,” ujar Syafiq apabila ditemu bual.
Sekiranya ada peniaga yang melanggar arahan tersebut, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette