PETALING JAYA – Akibat terdesak mencari pekerjaan, seorang wanita berusia 35 tahun terpedaya dengan sindiket pemerdagangan manusia yang menawarkan gaji lumayan sehingga S$3,000 a(lebih kurang RM10,000) di Singapura.
Adik mangsa, Leang yang membuat pendedahan itu berkata, kakaknya mendapat tawaran bekerja sebagai akauntan di sebuah gudang di negara tersebut oleh seorang lelaki yang baharu dikenalinya tiga bulan menerusi Facebook.
Oleh kerana, sudah hampir setengah tahun menganggur, kakak Leang mengambil keputusan menerima tawaran berkenaan, apatah lagi beliau turut ditawarkan tiket penerbangan percuma.
Malangnya, wanita tersebut menjadi mangsa sindiket untuk dipaksa menjalankan aktiviti penipuan dalam talian iaitu ‘love scam’ di Myanmar.
Difahamkan kakaknya dibawa masuk ke Myanmar selepas penerbangan ke Bangkok.
Lebih buruk apabila Leang memaklumkan sindiket tersebut turut meminta wang tunai RM50,000 sekiranya mahu kakaknya pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.
“Selepas berada di sana, beberapa waktu selepas itu kakak hubungi saya. Pada mulanya kakak beritahu keluarga dia ke Singapura pada awal bulan Mac tapi sebenarnya di ke Myanmar menerusi laluan Bangkok. Di sana, dia diberitahu sindiket itu mahu pengganti dua orang kalau mahu pulang.
“Selepas itu kakak hubungi lagi dan kali ini sindiket itu turut meminta wang tebusan RM50,000. Orang (sindiket) itu pesan kalau wang tidak diberi, nyawa kakaknya dalam bahaya.
“Selepas tidak dapat wang yang diminta mereka kurangkan jumlah permintaan kepada RM20,000,” katanya dalam sidang media yang dihadiri Ketua Cabang Keadilan Segambut, Deric Teh untuk membantu menterjemahkan bagi pihak Leang.
Leang turut memaklumkan, sebelum menganggur kakaknya pernah bekerja di kedai runcit dengan gaji RM1,600 sebulan.
Tambahnya, kali terakhir kakaknya menghubungi adalah pada dua hari yang lalu dan masih konsisten merayu meminta untuk dibawa pulang dengan segera.
Dalam pada itu, Daniel berkata, pihaknya akan cuba menghubungi Menteri Luar dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain untuk membawa balik kakaknya dengan segera.
“Tapi usaha ini perlu masa sebab ia melibatkan negara luar,” ujarnya.
Dalam masa yang sama Daniel menasihatkan masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja gaji yang lumayan melalui Facebook khususnya melibatkan negara luar.
“Saya nak nasihat sekali lagi orang muda yang mahu cari kerja dalam talian agar hati-hati. Siasat latar belakang syarikat tersebut jangan percaya dan diperdaya dengan gaji tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette