KAJANG – Setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri, sudah tentu rata-rata umat Islam dalam kalangan lelaki akan berbusana baju Melayu bagi meraikan hari gembira itu.
Jika dahulunya, perkhidmatan tukang jahit amat diperlukan untuk mendapatkan baju raya pilihan kini jualan secara dalam talian siap dipakai antara pilihan utama.
Justeru bagaimana pula nasib tukang jahit sekiranya majoriti pelanggan membeli baju raya secara dalam talian?
Apakah industri tukang jahit baju Melayu ini akan makin pupus di telan zaman?
Namun bagi pemilik Butik Dzulldeclassique Original, Zulkifli Rahmat, persaingan dalam dunia bisnes adalah lumrah bagi dirinya namun ia mengikut peredaran arus semasa.
Katanya, pada zaman di awal kemunculannya sejak 30 tahun lalu, persaingan tidak sehebat sekarang dan hanya berlaku sesama tukang jahit sahaja.
Bagaimanapun ia berbeza apabila ledakan teknologi melanda di mana baju Melayu boleh dibeli di atas talian yang ditawarkan oleh jenama butik terkenal pada harga murah.
“Sebenarnya, mereka (jenama butik terkenal) bukan saingan tukang jahit tempah. Bagi tukang jahit, pelanggan kami terdiri daripada mereka yang ada masalah ukuran badan sama ada gemuk, kurus, tinggi dan rendah yang tidak ada saiz di kedai dan mereka akan tempah.
“Dan di Kajang ini, ramai orang kaya dan VIP yang tidak akan pakai kain bukan citarasa mereka. Mereka selesa dengan kain berharga RM200 semeter di mana harga sepasang baju Melayu cecah RM1,000.
“Jadi mereka tidak akan pakai baju Melayu yang siap dipakai berharga RM200 apatah lagi yang memiliki anak ramai dan warna sedondon.
“Jadi tukang jahit masih jadi pilihan mereka untuk ditempah dan di situ kami memiliki pelanggan sendiri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di butiknya di sini hari ini.
Zulkilfli menambah, sepasang baju Melayu yang ditempah dengan pakej pembelian kain di butiknya hanya berharga RM300 dan ia mampu disiapkan dalam tempoh tiga jam.
Kata bapa kepada tiga anak ini, ada juga pelanggan yang gemar membawa kain sendiri mengikut citarasa dan bajet masing-masing.
Namun beliau yakin masa depannya sebagai tukang jahit tidak berdepan masalah jangka hayat panjang kerana butiknya turut menerima tempahan untuk baju kemeja, batik, seluar slack, kot dan busana pengantin serta baju wanita.
“Sebenarnya dari dulu persaingan kami adalah dengan tukang jahit Bangladesh yang mengambil upah dengan harga murah dan itulah saingan kami namun mereka kalah dari segi potongan dengan tukang jahit Melayu.
“Apa pun rahsia saya bertahan dalam bisnes ini kerana saya percaya denga sikap kena jujur dengan pelanggan dan jangan sesekali menipu, ikut apa yang diinginkan dan jangan mungkir janji.
“Kalau kena marah, itu adalah pengalaman dan dalam mana-mana perniagaan pun kena marah,” katanya berterus-terang.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, persalinan jingga gelap atau batu bata dijangka menjadi warna popular tema baju Melayu sempena Hari Raya Aidilfitri bulan depan.
Ia kerana warna itu menjadi pilihan utama para pelanggannya yang datang membuat tempahan sejak awal Disember lalu yang rata-rata memilih warna jingga gelap sebagai pilihan mereka.
“Kebanyakan pelanggan yang datang membawa kain berwarna jingga gelap gara-gara ia viral di TikTok sebelum ini dan menjadi pilihan anak muda. Jadi mereka akan paksa ibu bapa dan adik-beradik memilih warna sama agar nampak sendondon.
“Bagi yang memilih kain di butik ini, warna yang sama itu kehabisan stok sebanyak tiga kali,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli meramalkan tempahan baju Melayu akan melonjak naik walaupun tempahan bermula serdahana sebelum ia ditutup pada minggu pertama Ramadan ini.
Namun, katanya, butik itu hanya mampu menerima lebih 3,000 tempahan menjelang Aidilfitri seperti tahun sebelum ini bagi menjaga kualiti yang terbaik.
Katanya, kebiasaannya sekitar 2,000 tempahan adalah terdiri golongan yang berkeluarga dan pelanggan tetap sekaligus membuktikan pakaian tradisional tak lekang dek zaman.
“Sehingga hari ini, 2,000 pasang sudah siap dan 1,000 pasang sudah diambil pelanggan manakala bakinya dalam proses untuk dijahit dan semuanya dijangka siap sepenuh sehari sebelum menyambut Syawal,” katanya.
Zulkifli memulakan perniagaan membuat baju Melayu pada tahun 1993 sebelum menyewa di Arked Mara Kajang dua tahun kemudian.
Beliau yang kini boleh dianggap jutawan berpindah ke bangunan baru di Jalan Reko pada 2016.
Pada awal kemunculannya, baju-baju Melayu rekaan Zulkifli sering terpampang di majalah-majalah, dipakai pula oleh golongan VIP dan artis-artis sekali gus jenama Dzulldeclassique kekal bertahan sehingga hari ini. – MalaysiaGazette