ACP Zam Halim Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan satu daripada dua suspek warga asing yang sedang diburu dalam kes seorang wanita etnik Rohingya yang disimbah petrol dan dibakar di padang permainan di Kampung Cheras Baru pada 9 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, suspek telah ditangkap di kawasan perumahan di Ampang di sini malam tadi.

“Suspek merupakan seorang lelaki warga Myanmar berusia 36 tahun ditangkap di rumah yang diduduki di Ampang. Siasatan mendapati suspek bekerja sebagai tukang cat dan disyaki salah seorang suspek yang terlibat dalam kejadian (bakar wanita Rohingya),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Zam, suspek telah di bawa ke mahkamah untuk proses perintah reman pagi tadi.

“Mahkamah membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 20 Mac ini bagi membantu siasatan lanjut.

“Seorang lagi suspek masih giat diburu polis dan diyakini dapat dicekup dalam masa terdekat lagi,” ujarnya lagi.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan senjata atau lain lain benda merbahaya.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Dalam kejadian pada 10.45 malam 9 Mac lalu, wanita berusia 32 tahun telah ke padang permainan di Kampung Cheras Baru untuk mengambil anaknya berusia dua tahun.

Mangsa kemudian diminta dua suspek warga asing berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun untuk membeli petrol dalam botol.

Selepas mangsa membeli dan menyerahkan botol diisi petrol, tiba- tiba suspek menyimbah petrol atas mangsa dan membakarnya.

Dalam kejadian itu mangsa tercedera 30 peratus di muka dan badan sementara anak lelakinya sekadar cedera ringan.

Polis menerima laporan dari seorang lelaki warga Rohingya yang juga suami kepada mangsa pada 10 Mac lalu selepas insiden itu menimpa isterinya. – MalaysiaGazette