KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO akan tetap bersemuka dengan Rajiv Rishyakaran walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing itu enggan membincangkan isu sekolah vernakular secara terbuka.
Dr Akmal Saleh berkata, pertemuan itu akan diadakan secara tertutup pada malam Ahad ini.
Beliau memberi respons kenyataan Rajiv yang enggan berbincang isu sekolah vernakular itu secara umum.
“Baru-baru tadi YB Rajiv ada keluar kenyataan kata nak berjumpa secara one-to-one.
“Jadi it’s okay YB Rajiv tak nak bincang secara public, takpa. Saya tetap akan jumpa YB Rajiv Ahad malam ini,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di Facebook.
Semalam, Rajiv berkata, debat atau perbincangan secara terbuka mengenai isu sekolah vernakular tidak akan dapat menyelesaikan pertikaian yang tercetus sejak kebelakangan ini kerana bimbang tidak ada ruang untuk memahaminya secara mendalam.
“Saya rasa debat atau forum terbuka tidak dapat menyelesaikan sebab kita tidak ada ruang memahami dan menghayati dan tanya soalan jujur daripada hati saya nak dengar Akmal daripada hatinya dan saya nak juga, ruang tersebut paling sesuai jika kita duduk bersemuka dari situ kita tengok bagaimana kita akan bergerak (tindakan seterusnya),” katanya menerusi video yang dimuat naik di media sosial.
Rajiv membuat kenyataan itu selepas portal MalaysiaGazette menyahut cadangan Dr Akmal untuk menjadi penganjur bagi membincangkan secara terbuka mengenai isu sekolah vernakular.
Pendidikan sekolah vernakular menjadi perhatian apabila Rajiv membidas cadangan Dr Akmal supaya kajian menyeluruh dilakukan ke atas ekosistem pendidikan sekolah tersebut.
Cadangannya turut dibidas bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy dengan mendakwa Akmal keliru berhubung isu polarisasi kaum.
Selain Rajiv, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy turut mencabar Akmal untuk berdebat mengenai isu sekolah vernakular.- MalaysiaGazette