GOMBAK – Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) tidak menerima sebarang permohonan daripada pengusaha perniagaan mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengulas aspek teknikal berhubung cadangan aktiviti perniagaan mahupun sebarang aktiviti yang telahpun dijalankan di dalam gua tersebut.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zamri Ramli berkata, bagaimanapun mengikut prosedur yang diamalkan dalam cadangan pembangunan fizikal, pihak pemaju perlu membuat permohonan pemajuan kawasan tersebut kepada PBT.

PBT pula perlu memohon ulasan teknikal bagi permohonan cadangan pemajuan kepada JMG yang merupakan salah satu daripada agensi teknikal negeri.

Menurutnya, sebarang pembangunan di kawasan kaki bukit batu kapur perlulah dirujuk terlebih dahulu kepada Garis Panduan Penentuan Zon Bahaya di Sekitar Bukit Batu Kapur yang dikeluarkan JMG untuk menentukan zon selamat.

“Walaupun pembangunan geopark itu dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan penjanaan ekonomi masyarakat setempat, ianya perlulah selari dengan tiga elemen penting iaitu pemuliharaan, pendidikan serta pembangunan secara lestari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu bagi mengulas kewujudan Restoran Gua Lepak, Bukit Batu Caves di Taman Industri Bolton, Gombak, Selangor yang terletak di dalam gua batu kapur.

Kewujudan restoran itu menimbulkan persoalan keselamatan pengunjung premis jika risiko berlaku bencana geologi, selain isu pemuliharaan fosil di tapak, status kebenaran operasi restoran, risiko vandalisme, gangguan biodiversiti endemik serta isu pemuliharaan dan kelestarian terhadap geotapak tersebut yang merupakan sebahagian daripada Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp).

Pihak JMG menyarankan agar Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021- 2030 (PPGN 2021- 2030) dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara (PLGN) yang telah diputuskan untuk dipakai ketika Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-42 diterjemahkan dalam setiap pembangunan geopark. – MalaysiaGazette