Harga ayam segar yang dijual sekilogram RM9.40 selepas kerajaan mengumumkan penamatan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula berkuat kuasa hari ini ketika di Pasar Moden Seri Muda, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 01 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Harga dan bekalan ayam di negara ini kini stabil, kata Menteri Pertanian dna Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Ia adalah hasil pemantauan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) yang dibuat secara bulanan.

“Bekalan ayam juga pada masa kini adalah stabil dan faktor ini turut menyumbang kepada kestabilan harga ayam semasa,” jawab Mohamad kepada pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata, secara perbandingan harga ayam bagi Februari adalah RM6.03 sekilogram berbanding RM6.13 sekilogram bagi bulan Januari.

Sejak November tahun lalu, purata harga ayam adalah RM5.85 sekilogram dan bulan Disember RM6.39 sekilogram.

Manakala  Januari tahun ini adalah RM6.13 sekilogram.

Kerajaan telah penamatan sepenuhnya subsidi ayam bermula pada 1 November tahun lalu.

Penamatan subsidi ayam ini telah mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam yang telah mula stabil. – MalaysiaGazette