Keindahan Pulau Banding.

SEMPENA Hari Hutan Antarabangsa yang bakal disambut tahun ini pada 21 Mac 2024, mata kita tertuju kepada keindahan dan keperluan untuk memelihara hutan hujan yang menjadi warisan semulajadi, khususnya Hutan Hujan Belum-Temengor di Malaysia. Merangkumi kawasan yang luas dan kaya dengan kepelbagaian biologi, hutan ini tidak hanya menyimpan kekayaan alam yang tidak ternilai, tetapi juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem global.

Hutan Hujan Belum-Temengor, terletak di tengah-tengah Malaysia, yang mana ia merupakan sebuah peninggalan alam yang mengagumkan. Landskapnya yang menakjubkan dan kepelbagaian spesies tumbuhan serta haiwan menjadikannya satu mercu tanda keajaiban alam. Pelbagai spesies flora dan fauna dapat ditemui di Hutan Hujan Belum-Temengor seperti Rafflesia, Enggang, Harimau Malaya, Tapir, Beruang Madu, Seladang dan Gajah.

Selain daripada tumbuh-tumbuhan dan haiwan, Hutan Hujan Belum-Temengor juga didiami oleh masyarakat orang asli yang hidup secara nomad di kawasan pedalaman hutan hujan yang terdiri daripada suku kaum Jahai dan Temia di mana terdapat lebih daripada 19 perkampungan yang telah didirikan.

Namun, di sebalik keindahan alam ini, terdapat ancaman yang serius terhadap kelestarian hutan hujan kini. Penebangan hutan, kehilangan habitat, dan perubahan iklim merupakan cabaran yang mengancam kelestarian hutan ini.

Dalam usaha untuk menangani cabaran ini, Pulau Banding Foundation (PBF) telah memainkan peranan penting sebagai penjaga dan penyokong kelestarian Hutan Hujan Belum-Temengor. PBF telah mengemukakan pelbagai inisiatif untuk memelihara dan melindungi hutan ini, serta untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar. Salah satu program utama yang dianjurkan di peringkat antarabangsa oleh PBF adalah Belum Forest Friend (BFF).

Melalui program ini, masyarakat tempatan dan global dijemput untuk bersama-sama dalam usaha pemuliharaan hutan hujan ini melalui beberapa aktiviti seperti penanaman pokok dengan kerjasama Belum Rainforest Resort dan penganjuran program UNESCO World Heritage Volunteer yang melibatkan tujuh buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, China, Mozambique, Sri Lanka, dan India dengan kerjasama UMK Tropical Rainforest Research Centre (TRaCe).

Program BFF bukan sahaja memberi peluang kepada individu untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti pemuliharaan alam, tetapi juga memberi platform untuk memahami kepentingan kelestarian hutan hujan. Kerjasama dengan pihak swasta, masyarakat tempatan, dan organisasi antarabangsa telah memperkuatkan usaha PBF dalam memelihara Hutan Hujan Belum-Temengor.

Inisiatif seperti penanaman pokok, pengurusan sumber air, dan penyelidikan saintifik menjadi sebahagian daripada langkah-langkah yang diambil untuk memastikan kelestarian hutan hujan ini. Dalam meraikan Hari Hutan Antarabangsa, masyarakat tidak mengira lapisan usia seharusnya peka dan cakna tentang kepentingan pemeliharaan hutan hujan sebagai warisan semulajadi kita.

Hutan Hujan Belum-Temengor bukan hanya sebuah kawasan hutan yang indah, tetapi juga merupakan santuari kepada kehidupan di bumi ini. Melalui usaha bersama
dan komitmen yang berterusan, menjadi harapan bersama supaya kita dapat mengekalkankeindahan dan kepelbagaian hutan hujan untuk generasi akan datang.

Artikel sumbangan Pulau Banding Foundation