KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) kesal dengan tindakan pihak tertentu yang sengaja memainkan isu kantin sekolah beroperasi semasa bulan Ramadan dan pengiktirafan bak kut teh sebagai makanan warisan negara.
Ketua Biro Hak Asasi Manusia parti itu, Chai Ko Thing berkata, ahli politik khususnya tidak sepatutnya mempertikaikan isu kantin sekolah beroperasi pada bulan Ramadan kerana ia jelas tidak menghormati penganut agama lain, sekali gus mengundang ketidakharmonian dalam kalangan rakyat.
“Saya rasa perkara ini amat jelas, hormat menghormati, cetek kalau kita minta yang bukan Islam untuk tidak makan di kantin.
“Gerakan juga mengingatkan semua pihak, tidak kira sama ada rakan gabungannya, atau para pemerintah, bahawa perpaduan adalah tanggungjawab bersama dan jangan asyik menyimbah pendekatan yang boleh mewujudkan kebencian dalam kalangan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan.
Pada Isnin lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengumumkan kantin sekolah akan beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan mencetuskan pertikaian.
Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Ahmad Yahaya dilapor menyifatkan arahan pembukaan kantin sekolah pada bulan Ramadan sebagai keterlaluan dan seolah-olah tidak menghormati bulan mulia ini.
Bagaimanapun, Fadhlina menegaskan, arahan pembukaan kantin sekolah sepanjang Ramadan termaktub dalam Pekeliling Pengurusan Kantin Sekolah, yang mana ia perlu dibuka sepanjang sekolah beroperasi.
Katanya, perkara berkenaan bukan dasar baharu dan ia dilaksanakan khusus untuk sekolah yang mempunyai murid bukan Islam.
Tambah beliau, isu perkauman dan agama yang dimainkan secara melampau hanya mengakibatkan negara ketinggalan daripada pembangunan dan kelestarian.
“Rukun Negara pula mengingatkan kita akan taat setia kepada sebuah negara Persekutuan. Adalah kurang bijak bagi ahli politik menggunakan perkara-perkara remeh dan berbau perkauman dalam menjana publisiti politik.
“Adalah baik untuk rakyat dan negara, jika pemimpin politik menjana segala kebijaksanaanya dalam memacu keseragaman dan pembangunan negara. Kita dah nak hampir tujuh dekad merdeka, kalau masih nak memainkan perkauman, kita akan ketinggalan jauh,” jelasnya.
Sehubungan itu Chai berkata, semua parti politik seharusnya menumpukan perhatian kepada perkembangan ekonomi negara.
“Saranan Gerakan kepada parti politik dari mana-mana pihak supaya mengutamakan kepentingan ekonomi dan keharmonian negara dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette
ada orang Islam yang nak tunjuk dia lebih Islam menyebabkan orang lain jadi m@ngsa . padahal ini lambang kelemahan diri sendiri yang tak mampu kawal realiti dunia . kamu berpuasa orang lain tak boleh makan depan kamu . lemah benar iman kamu . macam mana lagi kamu nak hadapi ujian lain yang lebih berat . kalau ada perempuan bogel depan kamu adakah ia akan melayang ? . semudah itu kah ia . senang sangat setan tak payah kerja berat .