Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi bercakap kepada media selepas merasmikan pembukaan Lebuhraya WCE seksyen 6 persimpangan bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke persimpangan bertingkat Assam Jawa Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) ketika di Plaza Tol WCE Assam Jawa, Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM3.3 bilion telah diperuntukkan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi kerja-kerja penyelenggaraan turapan jalan-jalan Persekutuan di
Malaysia dari tahun 2018 hingga 2023.

Bagaimanapun, menurut menterinya, Datuk Seri Alexaxder Nanta Linggi, jumlah peruntukan tersebut masih belum dapat menyelesaikan masalah jalan rosak secara keseluruhannya.

“Berdasarkan rekod kementerian, masih terdapat sejumlah RM3.3 billion peruntukan yang diperlukan bagi menyelesaikan kerja-kerja terdahulu  yang melibatkan laluan Persekutuan sepanjang 3,821.03 kilomerter,” katanya di Dewan Rakyat.

Alexander menjawab pertanyaan Mohd Hasnizam Harun (PN-Hulu Selangor) yang ingin tahu mengenai tindakan yang telah atau yang akan diambil oleh Kementerian untuk mengatasi masalah pembaikan jalan raya iaitu turapan bukan tampalan yang berlaku di seluruh Malaysia.

Beliau turut berkata, pemilihan kaedah rawatan penyenggaraan yang tepat berdasarkan jenis kerosakan ditapak yang perlu dilaksanakan.

“Kaedah rawatan secara mill and pave dan overlay adalah sesuaian bagi lokasi yang mengalami kerosakan fungsi, manakala bagi lokasi yang mempunyai kerosakan struktur kaedah rawatan yang lebih besar seperti reconstruction (strukturan semula) atau partial reconstruction (struktur sebahagian) lebih disarankan.

“Selain itu, beberapa ujian tapak sebelum pemilihan kaedah rawatan adalah ditekankan supaya pemilihan yang dilaksanakan adalah tepat dan bersesuaian dengan kerosakan yang dialami,” kata Alexander lagi. – MalaysiaGazette