Dua suspek samun rumah tumpas dalam 24 jam manakala seorang lagi rakan jenayah diburu polis dalm kejadian di Subang USJ. - Gambar Ihsan IPD Subang Jaya.

SUBANG – Polis berjaya  menangkap dua suspek lelaki dalam masa kurang 24 jam selepas satu kejadian pecah masuk dan menyamun seorang penyewa rumah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pada 13 Mac lalu jam lebih kurang 12.14 tengah hari pihaknya telah menerima laporan daripada pengadu selepas mendakwa rumahnya dipecah masuk dan disamun di SS15/7.

Siasatan awal mendapati rumah itu dipecah masuk dan disamun oleh dua suspek lelaki warga tempatan bersenjatakan perengkuh paip.

“Siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku lebih kurang 11.50 pagi apabila rumah mangsa dipecah masuk oleh dua suspek lelaki sebelum mengambil barang berharga di dalam rumah mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua suspek samun rumah tumpas dalam 24 jam manakala seorang lagi rakan jenayah diburu polis dalm kejadian di Subang USJ di sini.- Gambar ihsan IPD Subang Jaya.

Tambah Wan Azlan, semasa kejadian itu, seorang penghuni wanita warga tempatan berada di dalam rumah.

Katanya, kedua-dua suspek didapati telah melarikan diri menaiki kereta jenis Toyota Corolla Altis berwarna putih dan kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kerugian sekitar RM15,000.

“Bertindak atas aduan itu polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan lokasi perumahan itu sekaligus berjaya membantu menjejaki lokasi keberadaan kedua-dua suspek jenayah itu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, bertindak atas petunjuk CCTV itu pada hari sama selepas kejadian sepasukan polis telah berjaya menahan dua suspek lelaki warga tempatan dalam tempoh 24 jam selepas insiden samun itu berlaku.

Kedua-dua suspek berumur dalam lingkungan 50 tahun itu berjaya diberkas di Kampung Baru, Kundang di Rawang dekat sini.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas mereka berjaya membawa kepada rampasan beberapa barang kes milik penghuni rumah yang disamun itu.

“Semakan lanjut polis mendapati kedua-dua suspek memiliki 18 rekod jenayah dan tujuh lampau bersabit dadah. Mereka sedang direman polis untuk siasatan lanjut kes yang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana kesalahan samun secara berkumpulan dengan senjata yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan,” ujarnya.

Polis sedang meneruskan siasatan lanjut untuk mengesan dan menangkap seorang lagi suspek lelaki warga tempatan yang masih bebas.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden berkenaan untuk segera tampil melaporkan kepada polis bagi membantu siasatan melalui nombor telefon 03-786 27100 atau pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Afiq Safullah Azid di talian 014-53 78217.- MalaysiaGazette