PUTRAJAYA – Kira-kira 60 peratus daripada 1,475 penyewa Perbadanan Aset Keretapi (RAC) adalah dalam kalangan bumiputera.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan peningkatan dalam ekonomi kaum berkenaan.

“Dengan mengambil kira penekanan yang disuarakan Kerajaan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 baru-baru ini yang mahukan agihan ekonomi diperluas dengan memastikan peningkatan dalam ekonomi bumiputera selaras dengan kerangka ekonomi Madani.

“Dalam hal ini, usaha memperkasa golongan bumiputera akan sentiasa diberi tumpuan oleh RAC disamping tidak mengetepikan golongan bukan bumiputera, dalam usaha merapatkan jurang ekonomi,” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Kontrak Pay As Use bagi Lokomotif dan Wagon Antara Perbadanan Aset Keretapi dan SMH Rail Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, kontrak antara RAC dengan SMH Rail Sdn Bhd bakal memberikan lonjakan besar terhadap operasi pengangkutan barangan di mana permintaan terhadap mod pengangkutan ini menunjukkan peningkatan yang positif.

 “Walaupun pihak kerajaan telah memberi sokongan kewangan kepada KTMB untuk melakukan perkhidmatan Maintenance, Repair and Overhaul (MRO) bagi rolling stock namun permintaan yang tinggi daripada pengguna telah mendesak pertambahan jumlah aset tersebut dengan lebih banyak.

“Lanjutan daripada itu, KTMB telah memohon kepada kerajaan untuk melaksanakan perolehan bagi pembelian lokomotif, wagon baharu serta perkhidmatan membaik pulih wagon yang terbiar.

“Dalam hal ini, RAC selaku pengurus dan pemilik aset telah mencadangkan pengenalan inisiatif baharu yang dikenali sebagai Rolling Stock Strategy (RSS).

“Melalui pendekatan ini lokomotif dan wagon yang terbiar, akan dibaik pulih dan digunakan semula dengan penglibatan syarikat swasta,” katanya lagi.

Jelas Anthony, melalui kontrak yang sama, SMH Rail Sdn Bhd akan membaiki 44 lokomotif yang tersadai untuk operasi kargo bagi tempoh 25 tahun.

“Selain itu SMH juga akan melaksanakan penukaran 256 wagon milik RAC yang berkapasiti rendah dengan uang mampu membawa muatan lebih berat,” tambahnya.

Anthony berharap supaya lebih banyak syarikat swasta industri rel akan tampil membantu kerajaan demi memperkasa sektor ini pada masa akan datang. – MalaysiaGazette