KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya tujuh orang rakyat Palestin dilaporkan syahid selepas diserang Israel dari udara ketika menunggu bantuan makanan Ops Ihsan di kem Al-Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza.
Pengerusi Sekretariat Induk Ops Ihsan Jismi Johari berkata, kejadian berlaku ketika petugas dalam persiapan untuk memulakan proses pengagihan barangan asas makanan.
“Sekretariat Induk Ops Ihsan dengan tegas mengutuk dan mengecam sekerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan ini di saat rakyat Palestin sedang berusaha mendapatkan keperluan makanan demi kelangsungan hidup,” katanya.
Ops Ihsan menggesa supaya dunia untuk terus mendesak Israel untuk menghentikan pencerobohan di Gaza dan pembunuhan besar-besaran terhadap rakyat Palestin dengan segera.
Malaysia telah menghantar 100 tan bantuan makanan melalui Ops Ihsan dan 100 tan lagi dilaporkan akan memasuki wilayah yang ditawan Israel itu melalui sempadan Mesir bulan ini.
Media hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 29 rakyat Palestin terbunuh ketika menunggu bantuan kemanusiaan dalam dua serangan berasingan Israel di Semenanjung Gaza semalam, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Dalam kejadian pertama, pegawai kesihatan Palestin berkata, lapan orang terbunuh dalam serangan udara ke atas pusat pengedaran bantuan di kem Al-Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza.
Kemudian, sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan lebih 150 lagi cedera akibat tembakan Israel ke arah orang ramai yang menunggu trak bantuan di bulatan utara Gaza.
Konflik Gaza selama lima bulan menyebabkan sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk di kawasan itu kehilangan tempat tinggal dan mereka terpaksa berebut ketika pengagihan bantuan akibat kelaparan.
Jumlah kematian kini melebihi 31,000 orang dengan sebahagian besar terdiri daripada bayi, kanak-kanak, wanita dan orang dewasa.-MalaysiaGazette