Nga Kor Ming.

PUTRAJAYA – Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kesal dengan tindakan pihak yang menabur nota ugutan di hadapan rumah ibunya minggu lalu.

Bercakap kepada media berhubung perkara itu, Kor Ming berkata, pihak-pihak yang terlibat sepatutnya tidak melibatkan ahli keluarga sekiranya ia mempunyai kaitan dengan politik.

Apatah lagi, kedua orang tuanya sudah uzur.

“Ayah saya sudah berusia 86 tahun, beliau tidak seharusnya dilayan dengan ugutan sebegini.

“Kini, polis telah mendirikan pondok sementara di depan rumah ayah dan ibu saya…saya berterima kasih kepada pihak polis,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan tahun 2024, di sini hari ini.

Beliau ditanya wartawan perkembangan inisden yang berlaku di rumah ibunya di Ayer Tawar dekat Manjung, Perak yang dihujani nota berbaur ugutan oleh pihak tidak dikenali dalam kejadian minggu lepas.

Dalam kejadian itu, nota ugutan tersebut ditulis dengan tulisan ‘Nga Kor Ming jangan cabar Islam’ dan dipercayai dilakukan oleh pihak yang mempunyai niat tidak baik.

Kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut lanjut, Kor Ming berkata, beliau tidak mahu apa yang berlaku itu mengimbau apa yang berlaku kepada Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham apabila kediaman dan tiga kereta miliknya dibakar oleh pihak yang tidak dikenali.

Katanya, apa yang berlaku adalah sesuatu yang membimbangkan dan tidak boleh diterima oleh mana-mana manusia yang berfikiran waras.

“Oleh kerana itu, saya akan sentiasa berhubung dengan Ketua Polis Negara supaya mana-mana yang terlibat akan dihadap kemuka pengadilan,” tegasnya. – MalaysiaGazette