Kebakaran yang melibatkan dua buah rumah teres dan sebuah kenderaan di Subang Jaya, tengah malam tadi. Ihsan Gambar : Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas terkorban manakala seorang lagi mangsa, lelaki warga emas sesak nafas dalam kebakaran yang membabitkan dua buah rumah, di Subang Jaya, Selangor, hari ini.

Komander Operasi Kanan, Timbalan Penguasa Bomba II, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menerima panggilan kecemasan pada jam 1.15 pagi berkaitan kebakaran tersebut.

Sejurus menerima panggilan, pasukan bomba daripada Balai Bomba Subang Jaya dan Balai Bomba Puchong telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera untuk misi menyelamat.

“Kebakaran melibatkan dua buah rumah berkeluasan 25×60 kaki persegi setiap unit yang telah terbakar 60% dan juga sebuah kenderaan.

“Salah seorang mangsa, wanita berusia dalam lingkungan umur 70an berjaya dibawa keluar namun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Manakala seorang lagi mangsa lelaki yang juga berumur 70an telah dilaporkan mengalami sesak nafas,” katanya.

Pasukan bomba yang hadir di lokasi telah menjalankan kerja-kerja pemadaman dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.40 pagi. 

Seterusnya, kerja-kerja ‘overhaul’ atau pemulihan telah dijalankan sehingga selesai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast