KUALA LUMPUR – Ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin ketika berada di Jerman wajar diberikan pujian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kenyataan yang dikeluarkan perdanamenteri mencerminkan Malaysia amat serius dalam menentang kekejaman Israel di bumi Palestin.
Beliau berkata, Malaysia telah berulang kali menegaskan pendirian tersebut termasuk di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Penindasan terhadap rakyat Palestin di Gaza telah berlarutan puluhan tahun lamanya dan sejak itu Malaysia tidak berganjak dengan pendirian sama.
“Lebih 30,000 rakyat Palestin telah terkorban, manakala lebih 73,000 cedera akibat kezaliman rejim Zionis Israel sejak Oktober lalu.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru seluruh rakyat termasuk masyarakat dunia untuk terus mengutuk tindakan Israel dan menggesa agar serangan tersebut dihentikan,” katanya.
Sementara itu Mohd. Na’im meminta pengurusan Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk melaksanakan solat hajat berdoa untuk keamanan di Gaza.
Masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diminta untuk berbuat demikian.
“Bulan Ramadan kali ini perlu diambil peluang buat umat Islam seluruh dunia untuk terus berdoa agar rakyat Palestin dilindungi.
“Sesungguhnya, doa itu adalah senjata umat Islam dalam mendapat keredhaan dan perlindungan daripada Allah SWT,” katanya dalam kenyataan.
Kelantangan Perdana Menteri di Jerman baru-baru ini yang mematahkan pertanyaan berat sebelah oleh media asing berhubung pendirian Malaysia berkaitan Hamas dan Palestin tular di media sosial dan mendapat perhatian dunia.
Masyarakat dunia mengagumi teguran luar biasa Perdana Menteri berkaitan isu Palestin ketika Canselor Jerman Olaf Scholz berdiri betul-betul di sebelahnya.
“Polisi kami berkenaan hal ehwal luar negara tetap konsisten. Kami menentang sebarang penjajahan atau aparteid, pembersihan etnik atau serangan terhadap mana-mana negara baik Ukraine mahu pun Gaza.
“Kita tidak boleh memadam sejarah kekejaman yang berlaku sejak 40 tahun lalu yang telah mencetuskan reaksi dan kemarahan daripada mereka yang terkesan,” tegas Anwar.-MalaysiaGazette