Seorang buruh binaan warga Indonesia diperiksa penguatkuasa JAIM setelah didapati berada di dalam sebuah restoran mamak di Ayer Keroh bersama dua bungkusan air pada pukul 12.15 tengah hari.

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan lima lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia 20 tahun dan warga emas menerusi Op Cegah Jenayah Syariah mencegah perbuatan ponteng puasa sejak 1 Ramadan lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kesemua ditahan berusia antara 20 hingga 60 tahun dalam operasi berasingan sekitar Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Menurutnya, dalam operasi pertama 1 Ramadan pada Selasa lalu, buruh binaan warga Indonesia berusia 20 tahun ditahan ketika sedang leka menikmati nasi berlauk sekitar 12.45 tengah hari di pekan Alor Gajah.

“Pemuda itu memberi alasan cuaca terlalu panas menyebabkan dia tidak tahan dahaga dan lapar untuk bekerja sebagai buruh binaan.

“Lelaki itu dan empat lagi termasuk warga emas berusia 60 tahun kemudian diberikan Surat Perintah Hadir (SPH) ke JAIM untuk memberikan keterangan, siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai operasi itu di sekitar Ayer Keroh dan Batu Berendam di sini hari ini.

Rahmad Mariman

Rahmad berkata, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 (EKSNM) dan boleh dihukum mengikut kategori kesalahan.

Sementara itu dalam operasi hari ini, seorang buruh binaan turut diberikan SPH setelah didapati berada di dalam sebuah restoran mamak di Ayer Keroh bersama dua bungkusan air pada pukul 12.17 tengah hari.

Ketika pemeriksaan, lelaki itu memberi alasan dua bungkusan air teh ais dan sirap bandung ais berkenaan adalah untuk dua rakannya yang bekerja tidak jauh dari restoran terbabit.

Tahun lalu, sebanyak 96 kaki ponteng puasa ditahan sepanjang pelaksanaan Op Cegah Jenayah Syariah berbanding 41 orang dalam tempoh sama pada 2022. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast