Seramai 15 orang pekerja PATI yang digaji secara tidak sah di sekolah sukan ternama diberkas JIM KL dalam operasi baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Cubaan beberapa majikan bersubahat memalsukan dokumen dengan menggunakan syarikat ‘atas angin’ (alamat syarikat tidak wujud), selain menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) mengundang padah bagi dapat ‘dihidu’ Jabatan Imigresen.

Pengarah Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, majikan berkenaan dipercayai berbuat demikian bagi permohonan Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) serta menggajikan PATI.

Namun, taktik kotor mereka tumpas melalui empat ‘Ops Sapu’ bermula 14 hingga 15 Mac lalu oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM WPKL.

“Tiga operasi dilaksanakan di premis masing-masing manakala dua lagi operasi dilaksanakan di Kompleks KDN Jalan Duta dengan memanggil pemilik syarikat untuk hadir setelah premis didapati tidak wujud sewaktu serbuan dilaksanakan.

“Hasil operasi dan siasatan awal mendapati empat warga tempatan terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki yang dipercayai pemilik syarikat telah memalsukan beberapa dokumen permohonan dan mengemukakan alamat syarikat  mengelirukan serta sengaja didaftarkan bagi mengaburi pandangan pihak berkuasa dan dokumen syarikat dipercayai turut dipalsukan.

“Mereka berbuat demikian untuk mendapatkan kelulusan permohonan ratusan kuota untuk pekerja warga asing yang memohon melalui syarikat mereka dalam Program RTK 2.0,” katanya dalam kenyataanh hari ini.

Keempat-empat individu itu telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 56(1)(k), Akta Imigresen 1959/63 dan berdepan dengan hukuman denda tidak kurang daripada RM30,000 dan penjara tidak melebihi 10 tahun serta sebatan.

Dalam pada itu, katanya, pada hari yang sama dalam operasi berasingan di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil, JIM WPKL telah mengeluarkan dua saman berikutan tangkapan PATI seramai 15 orang digaji secara haram sebagai pekerja perkhidmatan pembersihan di premis berkenaan.

Kesemua 15 PATI itu kini ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil (DIBJ) bagi tujuan siasatan lanjut kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)c) iaitu tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia serta Seksyen 15(1)(c), akta yang sama iaitu tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.

Jika disabitkan kesalahan bole dihukum denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan.

Dalam pada itu, Imigresen menyeru semua majikan bertanggungjawab bagi memastikan semua dokumen yang dikemukakan semasa permohonan adalah tulen dan diperoleh daripada agensi pengeluar dokumen dan bukan melalui agen atau pihak ketiga.

Tegasnya,  pemilik atau operator premis dan majikan juga dingatkan melindungi PATI dengan membenarkan mereka berada di dalam premis juga adalah suatu kesalahan apatah lagi menggajikan PATI.

“Imigresen juga tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara dipelihara serta memastikan bandar Kuala Lumpur tidak lagi menjadi tempat yang kondusif bagi pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Saya meminta semua majikan yang telah mendaftarkan PATI untuk program RTK 2.0 diminta segera hadir ke pejabat RTK 2.0, JIM WPKL untuk menyelesaikan proses verifikasi bagi membolehkan urusan pengeluaran permit kerja sementara disempurnakan tanpa menunggu sehingga saat akhir dan bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” kata beliau.-MalaysiaGazette