Gambar serangan yang dilakukan oleh sekumpulan lelaki ke atas penuntut Islam di Universiti Gujarat ketika bersolat terawih. Foto Facebook Afghan Students' Association, India.

NEW DELHI – Polis India telah menahan lima individu selepas beberapa pelajar antarabangsa diserang di sebuah asrama universiti ketika sedang menunaikan solat terawih.

Menurut polis, pertengkaran sengit berlaku di lokasi tempat pelajar-pelajar bersolat hingga menyebabkan serangan fizikal berlaku di Universiti Gujarat, Sabtu lalu.

Sumber polis berkata, lima pelajar dirawat kerana cedera.

Kementerian Luar India berkata, Kerajaan Negeri Gujerat sedang mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.

Pesuruhjaya Polis Ahmedabad, GS Malik, berkata, lebih 20 orang memasuki asrama pada malam Sabtu dan membantah pelajar yang menunaikan solat dan meminta mereka berbuat demikian di sebuah masjid.

“Lima individu itu bertengkar, menyerang pelajar dan membaling batu. Individu terbabit juga merosakkan bilik asrama mereka,” katanya sambil menambah satu pasukan telah dibentuk untuk menyiasat kes itu.

Identiti lima lelaki itu sudah dikenalpasti.

Polis berkata, lebih ramai orang mungkin ditangkap tidak lama lagi.

Polis belum mengesahkan sama ada kesemua suspek itu mempunyai kaitan dengan mana-mana organisasi politik atau agama.

Tiga daripada pelajar yang cedera telah dibenarkan keluar dari hospital manakala dua lagi dalam keadaan stabil.

Navid Siddique, seorang pelajar Afghanistan yang cedera dalam serangan itu, memberitahu akhbar Times of India, dia dan pelajar lain sedang menunaikan solat terawih apabila tiga lelaki memasuki asrama dan mula menyoal mereka.

“Pertengkaran berlaku dan mereka kembali dengan kumpulan yang lebih besar bersenjatakan batu, paip besi dan menyerang kami.

“Mereka mengamuk di asrama, menyerang pelajar di bilik mereka dan merosakkan harta benda dan kenderaan,” katanya kepada akhbar itu.

Noman, seorang lagi pelajar dari Afghanistan, berkata, kejadian serupa pernah berlaku sebelum ini.

“Terdapat banyak risiko di sini untuk pelajar dari negara lain,” dakwanya.

Polis berkata kira-kira 300 pelajar asing – ramai dari Afghanistan, Sri Lanka dan negara Afrika – belajar di universiti itu. – Agensi