Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 laporan polis berhubung penjualan stoking kalimah Allah telah dibuat Pemuda UMNO di seluruh negara terhadap KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) setakat semalam.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, laporan dibuat selepas polis  menyatakan pihak berkuasa itu tidak dapat menjalankan siasatan kerana tiada laporan dibuat oleh mana-mana pihak berhubung perkara itu.

“Seluruh rakyat Malaysia menunggu apakah hasil siasatan dari laporan ini. Kami minta ia disiasat di bawah Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan dan diberikan hukuman sekerasnya agar jadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang ingin bermain dengan isu 3R ini.

“Dan hari ini adalah hari kedua sejak desakan kita untuk KK Mart meminta maaf di setiap cawangan mereka di dalam Malaysia.

“Saya nak mohon anda semua cuba check KK Mart di kawasan anda ada tak menaikkan kenyataan mohon maaf di kedai mereka?,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Gambar laporan polis yang dibuat oleh Pemuda UMNO di seluruh negara.

Dalam kenyataan itu, Akmal turut membidas individu yang cuba menjadi hero mempertahankan isu itu dengan meminta agar tidak diperbesar-besarkan isu tersebut.

“Shame on you sebab tunduk pada tauke besar,” katanya.

Sabtu lalu, pengendali kedai rangkaian serbaneka KK Super Mart membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah di satu cawangannya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

KK Super Mart dalam kenyataan berkata, tindakan serta-merta telah diambil dengan memberhentikan penjualan stoking tersebut.

Sebelum ini, tular di media sosial kewujudan stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian runcit tersebut.

Berikutan itu, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan tindakan KK Super Mart tidak peka dengan penawaran produk yang menyentuh sensitiviti orang Islam dan meminta pihak berkuasa menyiasat segera perkara tersebut. – MalaysiaGazette