Hasanuddin Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kesal isu penjualan stoking kalimah Allah di pasar raya besar, KK Mart baru-baru ini.

Pihaknya percaya perbuatan itu dapat dicegah dengan lebih awal di peringkat penguatkuasaan.

“Tindakan perlu dikuatkuasakan kerana kejadian seperti ini bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam tetapi juga seakan menghina agama Islam sebagai agama persekutuan negara,” kata Yang di-Pertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga yakin akan keupayaan agensi penguat kuasa untuk membendung kejadian ini daripada terus berleluasa.

“YADIM melihat perkara ini sebagai sesuatu yang perlu dikaji secara menyeluruh bermula dari sudut pembangunan produk, bekalan, pengilangan, import dan eksport, kelulusan penjualan sehingga ke peringkat penjualan di kedai-kedai di negara ini.

“Kami turut memandang positif satu aspek di mana masyarakat dan umat Islam semakin teliti dan sensitif dalam memelihara kesucian agama Islam,” ujarnya.

Bagaimanapun, YADIM turut memuji tindakan pantas pihak pengurusan atasan KK Mart untuk memohon maaf dan memberikan penjelasan berkaitan isu yang sama.

Pihak KK Mart juga turut memberi jaminan pembaikan dalam perkara ini dan tidak akan berlaku pada masa akan datang.

Sehubungan dengan ini, YADIM menyokong hasrat umat Islam supaya segala bentuk pembekalan produk dan reka cipta di negara ini perlu diteliti dan diperhalusi sebelum diedarkan ke peringkat seterusnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast