KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh tidak keseorangan untuk memperjuangkan tindakan memboikot KK Mart susulan isu penjualan stokin tertera kalimah Allah.
Pengerusi Biro Armada Pusat, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, jika DAP dan MCA boleh ‘bergabung’ meminta Dr Akmal bertenang dalam soal ini, beliau tidak teragak-agak untuk bersama menyokong tindakan sayap UMNO itu.
“Kalau DAP dan MCA boleh bersatu, maka kita di Armada Bersatu ini juga boleh bersama-sama dengan Pemuda UMNO Malaysia dalam hal ini.
“Kalau DAP dan MCA boleh berpakat minta Dr Akmal bertenang dan tak boikot, kita Armada bersama-sama berjuang dengan Dr Akmal.
“Kita boikot KK Mart, kita sokong pelancaran boikot KK Mart oleh Pemuda UMNO ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Isnin lalu, Dr Akmal memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf.
Ahad lalu, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon meminta Dr Akmal tidak memperbesarkan isu penjualan stokin tertera kalimah Allah dan gesaan memboikot KK Mart itu dibuat secara membuta-tuli.
Semalam, Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming berkata, tindakan Dr Akmal itu akan memudaratkan dan memberi kesan kepada UMNO hingga mencetuskan sentimen perkauman dan agama.
Dr Aleef yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang menegaskan, orang Melayu Islam di negara sudah banyak bertolak ansur apabila kesucian agama sering kali dipersenda dan dihina secara terbuka.
“Kamu minta orang Islam bertenang, sebenarnya orang Melayu Islam dalam negara ini sudah cukup banyak bertenang, sudah banyak bertolak ansur, jadi saya bersama dengan Dr Akmal.
“Kamu kena ingat apa yang berlaku dekat negara kita ini sebenarnya bukan sekali dua mengguris hati orang Melayu Islam, tapi telah cukup banyak perkara ini berulang,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan tindakan pemimpin MCA dan DAP terbabit yang meminta Dr Akmal bertenang ketika umat Islam menjalani ibadah puasa.
“Di saat orang Islam sedang menyambut bulan Ramadan yang penuh suci ini, tiba-tiba datang satu isu perkara yang mengguris hati orang Melayu Islam, tapi kamu minta kami bertenang?
“Ini bukan soal bertenang atau tidak, tapi ini soal tindakan yang orang Melayu Islam kena buat
“Kalau kamu berdua (DAP dan MCA) boleh bersama hari ini, kita di Armada juga boleh bersama Pemuda UMNO Malaysia sama-sama boikot dan bantah tindakan yang telah berlaku ini
“Kepada Dr Akmal, saya selaku rakan ADUN kamu di Melaka, kamu tidak keseorangan, kita juga akan boikot KK Mart,” katanya lagi. – MalaysiaGazette