Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bercakap kepada media selepas Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 24 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kepimpinan UMNO didesak supaya tidak membiarkan Dr. Muhammad Akmal Saleh menggunakan platform Pemuda UMNO bagi mengejar agenda peribadi dengan menunggang isu kalimah Allah.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing turut mendesak Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh supaya bertindak tegas terhadap Muhammad Akmal.

Menyifatkan Muhammad Akmal sebagai angkuh dan keterlaluan, King Siang berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu mesti berhenti memainkan isu kalimah Allah kerana ia sebagai bersifat perkauman.

Katanya, tindakan Muhammad Akmal boleh merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Saya lebih bimbang sekiranya pemimpin kanan UMNO tidak mempedulikan gelagat dan sikap Akmal selaku Ketua Pemuda UMNO, maka ini akan mengakibatkan rakyat terus berpandangan negatif terhadap UMNO malah tidak mustahil UMNO terus ditolak oleh rakyat yang cintakan keamanan, perpaduan dan dahagakan politik matang.

“Saya telah mendapat maklum balas bahawa rakyat dan akar umbi Melaka telah membuat aduan dengan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sikap angkuh Akmal.

“Jika tidak diperbetulkan segera ini mungkin memberi kesan negatif kepada perkembangan politik Melaka pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu King Sing berkata, semua pihak harus bertolak ansur dan menerima permohonan maaf daripada pengurusan pasar raya KK Mart.

Beliau percaya KK Mart telah banyak menyumbang dan memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya dalam meningkatkan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan.

“‘Manusia tiada yang sempurna dan tidak dapat dielakkan akan melakukan kesilapan dalam perkara tertentu.

“Jelas sekali kedai KK Mart telah menjual stoking yang tertera perkataan Allah secara tidak sengaja atas kecuaian mereka sendiri. Oleh itu, penting untuk kita bertolak ansur dan menerima permohonan maaf ikhlas syarikat tersebut dengan hati yang terbuka,” katanya.

Baru-baru pasar raya KK Mart didapati menjual stoking bercetak kalimah Allah dalam tulisan Arab dan Rumi sehingga mencetuskan kegelisahan dan kemarahan penganut Islam.

Muhammad Akmal telah menggerakkan kempen memboikot KK Mart dan menggesa setiap cawangannya mengantungkan banner permohonan maaf. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast