KUALA LUMPUR – Penduduk Islam di negara ini tidak wajar diperbodohkan oleh KK Mart yang memberi alasan kononnya pihak pengurusan terlepas pandang menyebabkan stoking dengan kalimah Allah dijual di pasar raya tersebut.
Orang awam yang ditemui MalaysiaGazette berpendapat, alasan sedemikian langsung tidak masuk akal, justeru tindakan memboikot kedai itu adalah jalan terbaik buat masa ini.
Pesara kerajaan, Zamani Hassan menyifatkan tindakan kedai itu cuba menyentuh isu agama kerana mereka tahu umat Islam di negara ini cukup terkenal dengan sikap memaafkan.
“Jangan cuba cipta sentimen dan menyalakan api untuk bermain isu sensitif. Kadang-kadang saya rasa mereka seakan cuba menguji kesabaran umat Islam di negara kita ini. Mereka sedar kita cepat memaafkan tapi jangan ambil kesempatan,” katanya.
Pendapat itu disokong pekerja swasta, Zack Azuan Zulkefli yang berpandangan penjualan stoking dengan kalimah Allah itu mungkin disengajakan memandangkan banyak tapisan perlu dibuat sebelum sebarang produk dipasarkan.
“Bukan senang setiap barang untuk masuk dalam sesebuah kedai lebih-lebih lagi yang ada ratusan rangkaian macam KK Mart.
“Mesti ada prosedur dan kualiti piawaian (QC) jadi saya boleh rasa mereka cuba buat wayang,” ujarnya.
Berbeza dengan sesetengah negara, pekerja swasta, Liyana Zainuddin berpendapat, umat Islam di Malaysia masih rasional untuk bertindak.
“Kalau kita tengok negara luar lain memang ada sampai tahap rusuhan atau insiden buruk tapi mujur kita di sini masih bertoleransi. Ini negara harmoni, kita risau jika terus berlarutan keadaan boleh melarat,” katanya.
Seorang lagi pekerja swasta, Faizul Hussein berharap tindakan tegas diambil terhadap KK Mart sebagai pengajaran selepas dia melihat insiden serupa berlaku di premis MR DIY yang menjual produk menghina kalimah Allah apabila video mengenainya tular.
“Sekadar minta maaf langsung tidak beri sebarang pengajaran. Buktinya, saya lihat ada satu video di Facebook kedai MR DIY yang menjual pelekat berbentuk tapak kaki ada kalimah Allah.
“Saya takut ia sudah mula jadi ikutan, jadi eloklah tindakan tegas diambil kerana isu agama tiada kompromi,” ujarnya.
Bagaimanapun, Kumpulan MR DIY (M) Berhad (MR DIY) sebentar tadi tampil menjelaskan penjualan pelekat berbentuk tapak kaki tertera kalimah Allah dan Nabi Muhammad di premis mereka sudah ditarik sejak Februari 2019.
Mengulas lanjut, pengurusan KK Mart memaklumkan akan menunggu nasihat pihak berkuasa sebelum memulakan sebarang tindakan termasuk menaikkan kain rentang memohon maaf.
Ahli Lembaga Penasihatnya, Muhammad Haikal Daniel Khairal Abidin berkata, langkah itu diambil memandangkan isu itu kini sedang dalam siasatan polis. – MalaysiaGazette