Amir Azizan

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah membayar sebanyak RM48.06 bilion daripada keseluruhan hutang yang ditanggung 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sehingga kini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, daripada jumlah itu, bayaran sebanyak AS$3 bilion (RM14.2 bilion) dibuat pada Mac tahun lalu.

Menurut beliau, baki hutang 1MDB yang masih perlu dibayar bagi sukuk dengan nilai prinsipal sebanyak RM5 bilion yang akan matang pada 2039.

“Di bawah perjanjian penyelesaian yang ditandatangani pada 2020, kerajaan sudah menerima bayaran daripada Goldman Sachs sebanyak AS$2.5 bilion (RM11.83 bilion) dengan jaminan pengembalian aset AS$1.4 bilion (RM6.63 bilion) sehingga 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2023) peringkat dasar di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Amir Hamzah memberitahu, Goldman Sachs telah memfailkan satu permohonan timbang tara di Mahkamah London tahun lalu mengenai pertikaian berkenaan jaminan itu.

“Kerajaan dengan pembabitan pelbagai agensi dan 1MDB giat meneruskan usaha mendapatkan aset semula 1MDB di seluruh dunia.

“Kerajaan yakin usaha ini akan membawa hasil untuk meningkatkan kadar aset ‘recovery’ dengan lebih elok,” katanya.

Dalam itu, Amir Hamzah memberitahu, pelaksanaan subsidi RON95 bersasar hanya akan diperhalusi selepas kerajaan menyelesaikan pelaksanaan ke atas diesel.

Jelasnya, buat masa ini, penyasaran difokuskan kepada diesel memandangkan terlalu banyak ketirisan berlaku ke atas produk berkenaan. – MalaysiaGazette