KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM8,000, piala pusingan, trofi dan sijil apabila dinobatkan juara Pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor bagi kategori institusi pengajian tinggi.
Pertandingan itu telah dianjurkan pada 10 Mac lalu di Selangor Technical Skill Development Center (STDC) dan disertai sebanyak 47 pasukan dari institusi pengajian tinggi dan 13 pasukan pra universiti.
Pasukan USIM yang diwakili Muhammad Najmie Abdullah, 23, dan Ummu Unaisah Mohd Nordin, 21, itu berjaya menewaskan pasukan bahas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM).
Usul yang dibahaskan dalam perdebatan untuk melaksanakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) demi kemaslahatan setempat.
Dalam pertandingan itu, UKM yang mendapat naib johan telah membawa pulang wang tunai RM5,000 manakala tempat ketiga dan keempat yang disandang oleh UPNM A dan UPNM B telah memperoleh RM2,000 dan RM1,000 bagi setiap pasukan.
Menurut Najmie, persiapan awal yang dilakukan bersama jurulatih dan rakan pendebat telah membantu dalam mengekalkan momentum pasukan sepanjang pertandingan ini.
“Ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana penggunaan format debat presiden dan usul yang dibahaskan sememangnya mencabar untuk kami.
“Pendebat perlu memberikan tumpuan penuh dan bekerja keras untuk menganalisis setiap isu yang diketengahkan pihak lawan supaya dapat membalas dengan hujah yang bernas,” katanya.
Bagi Ummu pula, beliau berasa gembira kerana dapat mengharumkan nama USIM sekaligus membalas sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh Pusat Hal Ehwal Pelajar kepada pembangunan debat di USIM.
“Saya berharap kejayaan yang diraih ini dapat memberi motivasi kepada dirinya dan pasukan bahas Bahasa Melayu USIM untuk terus berjaya dalam pertandingan akan datang,” ujarnya.
Semasa majlis perasmian penutup, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminuddin Shari mengharapkan pertandingan seperti ini dapat melahirkan mahasiswa berpotensi yang mampu menjadi peneraju masa hadapan negara.
Pertandingan yang mendukung tema ‘Peranan Mahasiwa Dalam Memperkasa Bangsa Madani’ pada edisi ketiga ini telah dianjurkan pertama kali di Universiti Selangor (UNISEL) pada tahun 2019 dan Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) pada tahun lepas. – MalaysiaGazette