Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Kabinet esok akan memutuskan sama ada kerajaan bersetuju menganjurkan Sukan Komanwel pada 2026 selepas Malaysia ditawar menjadi tuan rumah selepas  Australia tarik diri.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh percaya keputusan yang bakal diambil berhubung perkara itu diyakini mengutamakan kepentingan negara tanpa membelakangkan rakyat.

Lantaran itu, keputusan tersebut diambil selepas penelitian terperinci dan tidak boleh dibuat sambil lewa.

“Setakat ini pendirian Kerajaan Persekutuan belum diketahui. Tetapi, saya boleh nyatakan pandangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan nombor satu dan tidak sama sekali membazirkan wang pembayar cukai jika pun bersedia untuk menganjurkannya.

“Kita akan pastikan pendekatan konservatif diambil setiap kali ia melibatkan duit rakyat. Jika kerajaan bersetuju untuk melaksanakannya, KBS mencadangkan perbelanjaan tidak melebihi geran yang diberikan oleh CGF (Persekutuan Sukan Komanwel),” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang ingin tahu pendirian kerajaan terhadap tawaran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas Victoria, Australia menarik diri.

Tawaran penganjuran sukan itu disusuli dengan suntikan dana 100 juta pound (RM603 juta) oleh CGF.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah pada 1998.

Victoria menarik diri kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Dalam pada itu Hannah berkata, mengambil kira wang pembayar cukai jika terpaksa digunakan, pilihan terbaik mungkin diambil oleh kerajaan adalah untuk tidak menganjurkannya.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada keputusan Kabinet esok.

Tambahnya, KBS juga bersedia melantik badan pengawal untuk membuat audit kepada akaun penganjuran jika keputusan dibuat untuk Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel 2026.

“Ini mengambil kira semua maklum balas yang telah kita teliti sejak minggu lepas, semua berita, pandangan olimpian dan tokoh terdahulu yang menganjurkan (temasya ini). Semua memberikan pandangan mereka dan kita telah baca.

“Paling utama ialah kementerian mahu memastikan tatakelola betul diikuti, pengurusan kewangan yang telus, segala kos dan perbelanjaan direkodkan dengan teratur supaya akaun penganjuran boleh ditutup dengan pantas dan baik,” jelasnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast