Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Malaysia telah berjaya menarik potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion sehingga Mac lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk kejayaan negara dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan di Australia yang menyumbang RM24.5 bilion serta Jerman dan Perancis sebanyak RM46 bilion.

“Sebagai negara keenam terbesar dunia dari segi eksport semikonduktor, kita meraih manfaat besar daripada peraingan antara Amerika Syarikat dan China dalam penghasilan cip dan diperkatakan hebat di dada-dada media antarabangsa.

“Kebanyakan syarikat luar melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang strategik untuk pelaburan mereka kerana ekosistem industri semikonduktor yang maju di sini dan mendapat dukungan penuh daripada kerajaan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar menambah, beberapa fakta juga telah telah menyokong prestasi ekonomi yang lebih baik tahun ini termasuklah kadar pengangguran turun ke paras 3.3 peratus pada Januari 2024 iaitu kembali ke paras prapandemik pada tahun 2022 iaitu 3.7 peratus.

Kata beliau lagi, kadar inflasi juga rendah dan turun kepada 1.6 peratus untuk suku keempat tahun 2023 berbanding 2.0 peratus pada suku ketiga tahun 2023.

“Prestasi eksport turut menunjukkan tanda pemulihan pada Januari 2024 dengan peningkatan 8.7 peratus selepas menguncup sepuluh bulan.

“Pemulihan eksport ini selaras dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa perdagangan global dijangka meningkat 3.3 peratus tahun 2024 ketimbang 0.4 peratus tahun 2023; dan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P juga meningkat ke 49.5 mata pada Februari 2024 iaitu tertinggi sejak September 2022.

“Sebagai tanda awal pemulihan sektor pembuatan; Indeks Pengeluaran Perindustrian turut kembali meningkat sebanyak 4.3 peratus pada Januari 2024 berbanding pertumbuhan negatif sebanyak 0.03 peratus pada Disember 2023,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast