Mohd Shuhaily Mohd Zain

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan telah menahan seorang lelaki warga tempatan untuk siasatan berhubung hantaran berunsur menghina agama Islam di media sosial.

Ia ada berkaitan isu stoking kalimah Allah di KK Mart yang kontroversi sekarang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tangkapan merupakan pemilik/pengendali akaun Facebook bernama Chiok Wai Loong.

“Individu berusia lingkungan 35 tahun itu telah ditangkap pada 20 Mac lalu di kawasan Cheras. Suspek telah dibenarkan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama empat hari mulai 21 hingga 24 Mac ini bagi membantu siasatan lanjut polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, siasatan kes dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), JSJ Bukit Aman.

Katanya, suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan perbuatan berkenaan boleh menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan agama di antara orang menganut agama sama.

“Jika disabitkan kesalahan boleh hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun,” katanya.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar, kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Kes masih diperingkat siasatan dan PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya melibatkan isu 3R (agama, bangsa dan institusi raja),” tegasnya. – MalaysiaGazette