Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Polis mengesan kewujudan skim penipuan pelaburan menggunakan nama Petronas Chemicals Group yang menawarkan skim pelaburan tersebut melalui aplikasi Telegram dan Facebook.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan awal mendapati skim terbabit menawarkan keuntungan yang tinggi hanya dalam tempoh tiga jam selepas pelaburan dibuat.

Sindiket menawarkan empat pakej pelaburan iaitu pakej asas membabitkan deposit RM550 hingga RM2,000 menjanjikan keuntungan RM15,000 hingga RM60,000.00, pakej silver (deposit RM3,000 hingga RM5,000 dengan pulangan RM90,000 hingga RM150,000).

Manakala Pakej Gold melibatkan deposit RM7,000 hingga RM9,000 dengan menjamin keuntungan RM210,000 hingga RM270,000 dan akhirnya pakej VVIP yang melibatkan deposit RM10,000 menjanjikan keuntungan RM300,000), katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli menjelaskan sindiket yang sama turut menggunakan logo Petronas Chemicals Group dipercayai untuk mengelirukan mangsa.

Tambah beliau, setakat ini menerima satu laporan polis daripada mangsa skim penipuan itu melibatkan nilai kerugian RM1,500.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan PDRM tidak menolak kemungkinan ramai lagi individu telah menjadi mangsa kepada skim penipuan ini.

“Justeru, mangsa-mangsa yang terlibat adalah dinasihatkan untuk membuat laporan di balai polis berhampiran agar siasatan lanjut dapat dilakukan oleh polis dalam usaha untuk membanteras kegiatan penipuan pelaburan ini,” ujarnya lagi.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.

Beliau menggesa masyarakat mendapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti portal semakmule CCID, alert list Bank Negara Malaysia, dan Suruhanjaya Sekuriti (melalui platform investment checker) sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan dalam talian. – MalaysiaGazette