Antara rempah yang dikeluarkan oleh Alagapa's

KUALA LUMPUR – Sijil halal syarikat pengeluar rempah terkemuka Alagappa Flour Mills Sdn. Bhd ditarik bukan disebabkan bahan mentah atau ramuan yang tercemar dengan bahan haram di sisi syarak atau isu kebersihan yang serius.

Menurut Alagappa sijil halal syarikat itu ditarik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berikutan isu teknikal iaitu kekurangan pekerja.

Katanya, pada peringkat awalnya, syarikat hanya dikenakan tindakan penggantungan sijil halal sahaja disebabkan oleh beberapa kesalahan teknikal yang tidak kritikal.

JAKIM telah memberikan syarikat tersebut masa untuk melakukan penambahbaikan terhadap ketidakakuran tersebut.

“Walaupun begitu, disebabkan oleh beberapa kekangan berkenaan tenaga kerja menyebabkan penambahbaikan dan penutupan laporan ketidakakuran tersebut tidak dapat ditutup dengan sempurna pada masa yang telah diperuntukkan sehingga menyebabkan sijil halal kami ditarik balik.

“Disebabkan itu, kami secara drastik telah memperkasa tenaga kerja syarikat khusus terhadap bahagian Eksekutif Halal, Jawatankuasa Halal Dalaman dan seterusya syarikat telah menubuhkan Alagappa’s Halal Department untuk meneraju segala hal ehwal berkaitan pengurusan halal dalaman syarikat secara strategik,” katanya dalam kenyataan.

Pihak syarikat telah melakukan permohonan untuk mendapatkan pensijilan halal syarikat semula daripada JAKIM.

Sekirannya tiada halangan syarikat tersebut akan melalui proses audit semula selewat-lewatnya pada bulan ini.

Sementara itu tular di media sosial hari ini bahawa JAKIM telah menarik balik sijil halal syarikat berkenaan.-MalaysiaGazette