KUALA LUMPUR – Keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur didakwa kembali dalam keadaan yang tidak memuaskan menjelang ksi timbal balik Malaysia berdepan Oman dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Selasa depan.
Menerusi gambar yang tular di laman X, padang SNBJ masih berlopak di beberapa bahagian yang turut menampakkan kawasan tanah.
Difahamkan, gambar keadaan sebenar padang SNBJ itu diperoleh selepas seorang pengguna YouTube menerbangkan dron berkameranya di stadium tersebut dan memuat naik dalam satu video pada 12 Mac lalu.
Ini bermakna keadaan sebenar SNBJ masih belum di tahap yang memuaskan kerana hanya berbaki 15 hari sahaja lagi sebelum aksi Malaysia menentang Oman.
Bulan lalu, gelanggang keramat Harimau Malaya itu dijadikan venue konsert jelajah penyanyi terkenal Britain, Ed Sheeran.
Sebelum ini, isu sama pernah berlaku dalam aksi final Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC.
Keadaan padang ketika itu rosak dan terdapat bahagian rumput yang tercabut selepas konsert kumpulan antarabangsa, Coldplay berakhir.
Awal pagi tadi, dalam perlawanan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, Harimau Malaya tewas 0-2 sekali gus meletakkan skuad kendalian Kim Pan-gon di tangga ketiga Kumpulan D.
Kedua-dua pasukan bakal bertembung di Stadium Nasional Bukit Jalil, KL pada 26 Mac dengan mata penuh perlu diraih skuad kebangsaan dalam misi melayakkan diri secara automatik ke Piala Asia 2027. – MalaysiaGazette