PUTRAJAYA – Firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity dijangka akan membentangkan pelan baharu pencarian pesawat MH370 yang hilang 10 tahun lalu, kata Menteri Pengangkutan.
Anthony Loke menjelaskan, firma yang dikaitkan dengan pencarian kehilangan pesawat negara itu akan membuat perbentangan pada Mei depan.
“Kita tunggu dulu kertas cadangan mereka, kawasan mana hendak cari dan sebagainya kemudian kementerian akan membuat kertas Memorandum Jemaah Menteri.
“Kena faham bahawa prinsipnya (fokus pencarian) adalah no find, no fee (tidak jumpa, tiada bayaran) jadi ada komitmen dan implikasi kewangan maka itu memerlukan kelulusan Kabinet,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
Setakat ini, Anthony berkata, pihaknya terpaksa menunggu dahulu cadangan daripada Ocean Infinity terutama fokus carian mereka barulah sebarang keputusan dibuat.
Untuk rekod, Ocean Infinity sebelum ini melaksanakan pencarian pesawat malang itu di Lautan Hindi pada 2017 dan berakhir pada 2018.
Pada awal bulan ini, syarikat berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat (AS) itu mendakwa mempunyai bukti saintifik baharu mengenai lokasi terakhir pesawat MH370.
Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett berkata, pihaknya dalam kedudukan dapat kembali mencari MH370 dan sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan Malaysia.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 sebelum ia diumumkan ‘hilang’ di Lautan Hindi. – MalaysiaGazette