Mohd Uzair meninjau Program ‘PADU Hour Mega’ di Dewan Terbuka Taman Tanjung Indah, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Kesedaran dan pemahaman rakyat berkaitan pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) semakin meningkat.

Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, ia berdasarkan pertambahan mendadak pendaftaran yang melebihi 300,000 orang setiap hari.

Jelas beliau, data dari pendaftaran PADU penting dalam menjadi sumber rujukan kepada bantuan dan penambahbaikan yang akan dilakukan pada masa akan datang.

“Setakat ini, lebih 7.4 juta atau 36 peratus rakyat berusia 18 tahun ke atas telah melakukan pendaftaran PADU.

Mohd Uzair.

“Analisis data dari sistem tersebut perlu dikemukakan terlebih dahulu kepada kerajaan bagi membolehkan sebarang tindakan bagi keselesaan rakyat dapat dilaksanakan.

“Ia juga bagi memudahkan kerajaan melaksanakan program yang bersasar dan mampu memberi impak kepada penerimanya.

“Malah, sejak PADU dilancarkan sistem itu tak pernah ada down time kerana ia tidak pernah terhenti walaupun satu minit atau dalam erti lain sentiasa digunakan 24-7,” katanya selepas meninjau Program PADU Hour Mega di Dewan Terbuka Taman Tanjung Indah di sini hari ini.

Mengulas lanjut,  Mohd Uzair berkata, keputusan terhadap hasil data sistem padu tidak dapat diperoleh serta merta sebaik pendaftaran tamat, sebaliknya perlu menjalani analaisis terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada pihak kerajaan dan jemaah menteri.

Katanya, data berbentuk waktu semasa itu penting untuk melihat cadangan-cadangan bagi memperbaiki isu sosial rakyat terutamanya membabitkan bantuan dan hal-hal yang perlu dipertingkatkan bagi keselesaan rakyat.

“Sehubungan itu, rakyat diseru mengemaskini PADU segera dan tidak menunggu saat akhir, bagi mengelakkan kesesakan menjelang tarikh akhir pendaftaran iaitu 31 Mac depan.

Pulau Pinang setakat ini merekodkan pendaftaran seramai 404,000 atau 37 peratus.

Media pada Sabtu lalu melaporkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan tidak bercadang melanjutkan tempoh pandaftaran padu kerana pihaknya perlu mematuhi jadual bagi membolehkan pelaksanaan subsidi bersasar menjelang akhir tahun.

PADU dilancarkan Perdan Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu sebagai pangkalan data berkaitan maklumat asas demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima rakyat. – MalaysiaGazette