Gambar ihsan PDRM

KUANTAN – Mayat seorang mekanik ditemui lemas di tebing Sungai Mati Tanjung Putus kira-kira 300 meter dari lokasi awal dikatakan hilang dengan kesan kecederaan pada sebahagian badannya.

Mangsa merupakan warganegara Kemboja dikenali Sary Tolos, 26, ditemui pukul 12.05 tengah hari ini semasa air surut, kata Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Menurut fakta kes, semalam pengadu bersama dua rakannya termasuk mangsa telah pergi menjala ikan dan semasa pengadu melakukan tebaran kali kedua, jalanya tersangkut lalu pengadu minta rakannya turun ke dalam air bagi melepaskan jala.

“Semasa kedua rakannya sedang berada di dalam air, secara tiba-tiba salah seorang rakannya bernama Sary Tolos telah tenggelam dan terus hilang di dalam kocakan air.

“Sejurus kemudian pengadu telah lihat kelibat ekor buaya di tempat rakannya tenggelam. Seterusnya pengadu datang ke Balai Polis Kuantan buat laporan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk dibedah siasat bagi mengetahui sebab kematiannya dan siasatan di bawah mati mengejut.- MalaysiaGazette