KUALA LUMPUR – Anggota polis Kontinjen Kuala Lumpur sedang menziarahi keluarganya di sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah di Kajang, Sabtu lalu sebelum ditemui mati dipercayai dipukul sekumpulan lelaki tidak dikenali.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, anggota polis itu pergi bersama isterinya sebelum dipercayai berlaku pertengkaran di antara mereka berdua.
“Jadi, mungkin tercetus pergaduhan di sini dan polis masih siasat punca kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Polis ke-217 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.
Menurut beliau, anggota terbabit tinggal di Kuarters Polis Sungai Besi yang terletak di Cheras.
Setakat ini lima lelaki berusia 19 hingga 23 tahuncdipercayai berada di tempat kejadian dan terlibat sama dalam pergaduhan atau memukul mangsa tersebut telah ditangkap.
Katanya, hasil laporan bedah siasat mendapati anggota berkenaan maut kerana kecederaan di kepala akibat hentakan benda tumpul sama ada dipukul atau jatuh.
Bagaimanapun, polis tidak menjumpai sebarang senjata di lokasi kejadian dan harap orang awam yang melihat kejadian untuk tampil bantu siasatan,” jelasnya lagi.
Siasatan kes ini dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.- MalaysiaGazette