KUALA LUMPUR – Fenomena El- Nino yang kini sedang melanda Malaysia sedikit sebanyak menjejaskan pengeluaran tanaman padi yang memerlukan sumber air yang banyak serta mengubah struktur tanah yang memberi kesan hasil pengeluaran padi negara.
Pensyarah Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Firdaus Sulaiman berkata, kekurangan bekalan air akan menjejaskan hasil padi kerana air bukan sahaja penting untuk proses fisiologi pokok padi malah membantu untuk mengawal rumpai dan penyakit.
“Cuaca panas dan kekurangan air dalam tanah akan menyebabkan tekanan pada pokok padi dan apabila pokok padi mengalami tekanan ianya akan menjejaskan pertumbuhan pokok seterusnya menjejaskan hasil,” katanya.
Oleh itu, antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini ialah menjalankan program pembiakbakaan bagi menghasilkan varieti padi yang lebih rintang terhadap suhu yang tinggi dan yang tidak memerlukan penggunaan air yang banyak.
Salah satu kaedah yang boleh diamalkan oleh pengusaha sawah padi untuk mengurangkan penggunaan air antaranya kaedah pengeringan dan pengairan bergantian dan pengeringan pertengahan musim.
Dr. Muhammad Firdaus turut menjelaskan, perbezaan kaedah pengeringan dan pengairan bergantian adalah di mana petak sawah tersebut akan dibiar untuk mengering sehingga paras air tanah berada pada para 15 cm dari permukaan tanah dan kemudiannya petak sawah akan diairi semula.
Kitaran ini akan berulang sehingga waktu menuai dan hanya dihentikan seketika sewaktupada peringkat pembentukan bunga padi.
Selain itu, beliau berkata, bagi kaedah pengeringan pertengahan musim yang petak sawah akan dibiar mengering selama tujuh hari pada pertengahan pertumbuhan padi iaitu sekitar hari ke-50 dan kemudiannya petak sawah tersebut akan diairi semula selepas itu.
“Kajian yang dijalankan oleh UPM dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati penggunaan kedua-dua kaedah itu menunjukkan ia dapat mengurangkan penggunaan air serta tidak menjejaskan pertumbuhan padi dan pengeluaran hasil,” katanya.
Dr. Muhammad Firdaus yang mempunyai kepakaran dalam kesuburan dan pengurusan tanah berkata, kefahaman sifat tanah adalah penting untuk menyesuaikan jenis tanah dengan tanaman serta kaedah pengurusan tanah yang baik.
Menurutnya, dari sudut pertanian tanah bukan sahaja membekalkan air dan unsur nutrien yang diperlukan oleh tanaman malah merupakan tapak sokongan bagi akar tanaman untuk menampung berat jisim tanaman tersebut.
“Tidak semua jenis tanah sesuai untuk semua jenis tanaman dan tanah yang tinggi kandungan lempung dan mempunyai topografi yang rata sangat sesuai untuk penanaman padi. Tanah yang sama tidak sesuai untuk tanaman pokok durian kerana kedua-dua tanaman ini mempunyai keperluan air yang berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Muhammad Firdaus berkata, nutrien yang diperlukan bagi tanah padi adalah seperti tanaman lain iaitu memerlukan 16 unsur kimia untuk memberikan hasil yang terbaik.
Dari 16 unsur tersebut, 13 unsur perlu dibekalkan melalui pembajaan sekiranya kandungan unsur di dalam tanah tidak mencukupi untuk keperluan pokok padi dan keasidan tanah yang tinggi akan merencat kesediaan unsur dalam tanah untuk diserap oleh pokok padi
Beliau berkata, masyarakat umum sering beranggapan hanya unsur nitrogen, fosforus dan kalium (NPK) sahaja yang diperlukan oleh pokok padi namun keperluan bagi unsur surih seperti mangan, boron, kuprum, zink dan molybdenum seringkali diabaikan.
Selain membekal unsur nutrien yang mencukupi untuk pokok padi, tahap keasidan tanah juga perlu dipastikan berada pada tahap yang bersesuaian iaitu nilai pH antara 5.5 hingga 6.5.
Katanya lagi, mikroorganisma tanah bermanfaat juga akan terencat pertumbuhannya dalam keadaan tanah berasid.
Dr. Muhammad Firdaus berkata, selain faktor perubahan iklim antara cabaran masa kini oleh pesawah dalam memastikan peningkatan produktiviti antaranya kenaikan harga bahan input iaitu kapur dan baja.
“Buat masa ini kerajaan membekalkan secara percuma input pertanian tersebut namun mata wang ringgit yang lemah pada masa ini sedikit sebanyak memberi kesan kewangan yang besar bagi kerajaan untuk terus memberi subsidi input pertanian kepada pesawah dan pesawah perlu bersedia untuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk peroleh bahan input tersebut,” tambahnya. – MalaysiaGazette