Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan oleh anggota Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam Ops Kutip di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 25 MAC 202

KUALA LUMPUR – Seramai 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Kutip Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di sebuah pusat beli-belah terkemuka, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, penahanan PATI berumur antara 20 hingga 45 tahun itu, kerana disyaki melalukukan pelbagai kesalahan.

“Hasil risikan selama satu minggu, seramai 53 telah diperiksa dan 46 PATI ditahan melibatkan 20 lelaki dan 26 wanita.

“Mereka merupakan warganegara Indonesia (4), Bangladesh (8), India (10), Myanmar (16) dan Pakistan (8),” katanya pada sidang media selepas mengetuai Ops Kutip JIM WPKL di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Dalam operasi penguatkuasaan itu, seramai 50 pegawai Imigresen digerakkan bagi menjayakan Ops Kutip itu dengan melakukan pemeriksaan di premis perniagaan termasuk saloon, butik baju dan kedai minyak wangi.

Menurut Jafri Embok, JIM menyeru semua pihak untuk bekerjasama bagi memastikan ibu negara tidak lagi kondusif mahupun selesa kepada PATI serta mana-mana majikan yang menggajikan atau pihak yang melindungi PATI.

“Pihak kami akan sentiasa melaksanakan operasi penguatkuasaan secara 360 darjah yakni, penguatkuasaan undang-undang hal ehwal imigresen akan dijalankan ke atas semua pihak tidak kira PATI, majikan mahupun mana-mana pihak yang bersekongkol melindungi PATI.

“Kesemuanya akan diambil tindakan tegas dan tiada lagi kompromi demi menjaga kedaulatan negara dan keselamatan awam,” katanya.

Selain itu, Jafri Embok berkata, kesemua PATI akan menjalani proses verifikasi yang selanjutnya di Ibu Pejabat JIM WPKL, Kompleks Kementerian Dalam Negeri Jalan Duta, di sini.

“Sekiranya pemeriksaan mendapati mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan mereka akan dibebaskan.

“Kebanyakan warga asing hanya memegang pasport salinan dek kerana rata-rata majikan di Malaysia menyimpan pasport mereka yang asli.

“Kami akan menghubungi majikan untuk mengemukakan pasport asli warga asing yang ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, setelah verifikasi, mereka yang disyaki benar-benar melanggar syarat atau peraturan hal ehwal imigresen akan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tujuan siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung keberadaan PATI di kawasan tersebut yang sering menimbulkan kebimbangan masyarakat setempat,” katanya.

Katanya, Imigresen tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang cuba melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta mana-mana peraturan atau perundangan lain.

“Lebih-lebih lagi kepada warganegara Malaysia yang cuba bersekongkol atau bekerjasama dalam pemberantasan pendatang asing tanpa izin di dalam negara ini khususnya ibu negara tercinta kerana kedautan dan keselamatan negara adalah tanggungjawab kita bersama.

“Sekiranya mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang keberadaan PATI, dimohon mengambil langkah proaktif dengan menyalurkan perincian mengenai perkara ini.

“Sertakan butir diri anda selengkapnya seperti nama dan nombor telefon untuk dihubungi sewaktu memberi maklumat kepada pihak kami, Identiti anda akan kami pelihara dan dirahsiakan.

“Anda boleh menyalurkan informasi tersebut dengan menghantar emel ke aduan [email protected]. Bersama-sama kita membanteras pendatang asing tanpa izin di negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast