Pemilik Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Chin Huat hadir ke mahkamah berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto MALAYSIA GAZETTE, 26 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Pengasas dan pengerusi Syarikat KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Chai Kee Kan dan isteri, Datin Seri Loh Siew Mui dipercayai tidak melalui pintu utama ketika memasuki Kompleks Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kedua mereka antara lima individu yang akan dihadapkan ke mahkamah di sini hari ini berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka tersebut.

Individu lain iaitu pembekal yang didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah Shah Alam pagi ini adalah Goh Li Huay, Soh Hui San dan Soh Chin Huat.

Semalam, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman dalam satu kenyataan berkata, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan dengan sengaja mencederakan perasaan agama orang lain serta bersubahat.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Tiga hari selepas itu, pengurusan KK Super Mart memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Susulan isu itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita. Seri Paduka Baginda bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast