SEKINCHAN – Cuaca panas melampau di sekitar daerah ini telah telah menyebabkan rata-rata pesawah mengalami kemerosotan hasil padi kira-kira dua hingga tiga tan metrik per hektar berbanding musim lalu.
Tinjauan MalaysiaGazette di kawasan Sungai Burung mendapati sekitar tanah di kawasan bendang juga kering walaupun usia padi sudah mencapai 65 hari.
Menurut pesawah, Mohd Arif Roslan, 30, lazimnya usia padi sebegitu, kawasan bendang masih dipenuhi air ketika proses pendebungaan berlaku.
Malah hasil padi juga akan menghijau dengan rata kerana baja dalam tanah akan diserap dengan baik berikutan air yang mencukupi di kawasan tanaman tetapi kini situasi di luar jangkaan.
“Seperti di kawasan Tanjung Karang sudah menuai dan kami lihat di sana ada berlaku penurunan tan padi disebabkan faktor cuaca panas dan padi menjadi ringan serta senang mendapat penyakit.
“Musim lalu, kita di sini boleh dapat kumpulkan lima hingga lapan tan tapi musim ini saya jangkakan empat tan sahaja. Kita mungkin akan kekurangan dua tan macam itu.
“Kalau dari segi tanah memang amat kering, padi usia sebenarnya ketika boleh menuai iaitu 105 hingga 115 hari dan kebiasannya hari ke 80 baru kita buang.
“Tapi sekarang usia padi 60 hingga 65 hari biasanya masih ada air bertakung tapi sekarang cepat sahaja kering dan padi ini memerlukan banyak sumber air, selain perdunya kurang kembang,” ujarnya.
Memandangkan cuaca panas masih berlaku, Mohd Arif berkata, kekerapan mengepam air di kawasan bendang akan dilakukan lebih kerap berbanding sebelum ini bagi memastikan sumber utama tanaman sentiasa ada.
Sementara itu, Roslan Aini, 51, yang mengusahakan sawah lebih 100 hektar sawah juga amat terkesan dengan keadaan cuaca panas yang melanda ketika ini.
Situasi itu telah mengakibatkan hasil padinya menjadi ringan dan kering berbanding sebelum ini.
“Memang terkesan sebab padi memerlukan banyak air masa menanam, ketika pendebungaan pun memerlukan air, kalau kurang hasilnya akan merosot.
“Macam musim lepas, hasil pun kurang sebab padi jadi ringan, kecut dan terlebih kering sebab tiada hujan. Selalunya di Sungai Burung ini boleh dikatakan hasil kita peroleh lapan hingga 10 tan metrik per hektar.
“Tapi sebabkan musim kemarau, hasil memang banyak menurun, kita boleh dapat lima hingga tujuh tan metrik per hektar sahaja. Untuk dapat lebih daripada itu memang susah sebab ada padi yang kecut dan kosong,” katanya.
Bagaimanapun menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), cuaca panas bakal berakhir tidak lama lagi berikutan fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 29 Mac ini dan berterusan sehingga Mei 2024.
Jelas Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2023/24 yang telah bermula sejak 11 November lalu. – MalaysiaGazette